Facebook kini sedang mempersiapkan versi muktamad sokongan berbilang peranti WhatsApp melalui beta terbarunya. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, fungsi ini membolehkan pengguna menghubungkan akaun induk ke empat peranti yang berbeza. Namun begitu, masih lagi terdapat beberapa had dalam penawaran fungsi ini.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh menerusi WABetaInfo, WhatsApp hanya akan membenarkan untuk dihubungkan melalui versi web, desktop dan juga aplikasi Facebook Portal.
Ianya membenarkan untuk dihubungkan dengan PC, laptop dan Mac, tetapi tidak boleh melalui telefon pintar atau tablet. Ini agak mengecewakan sesetengah pengguna kerana ianya menyukarkan pengguna untuk beralih ke peranti-peranti lain. Selain itu, ketiadaan memindahkan sandaran chat dari Android ke iOS juga menambahkan lagi kekecewaan pengguna terhadap WhatsApp.
Pun begitu, masih ada lagi sinar pembaharuan yang akan dibawakan oleh WhatsApp pada kemaskini yang akan datang melalui beta terbaru ini. Seperti yang dijanjikan oleh Mark Zuckerberg, WhatsApp akan membenarkan pengguna meneruskan perbualan atau membuat panggilan menerusi peranti yang dihubungkan ke akaun induk. Fungsi ini boleh terus digunakan walaupun dalam keadaan telefon pintar akaun induk berkenaan dalam keadaan offline atau dimatikan.
Versi yang digunakan kini mempunyai masalah kehilangan sambungan pada aplikasi desktop atau web jika telefon pintar akaun induk WhatsApp pengguna berkenaan berada di dalam keadaan offline atau dimatikan.
WABetaInfo yakin versi akan datang sokongan berbilang peranti WhatsApp akan memperkenalkan keupayaan bersambungan dengan telefon-telefon pintar lain milik pengguna.
Log out WhatsApp
Dalam perkembangan yang berkaitan, Facebook kini turut sedang mengusahakan pilihan untuk “Log Out” untuk WhatsApp. Ianya dikatakan akan menggantikan fungsi pilihan “Delete My Account” pada halaman akaun WhatsApp.
Ini memungkinkan WhatsApp tidak lagi akan mengehadkan pengguna hanya dibenarkan menggunakan satu nombor telefon sahaja di masa akan datang. Mungkin, kelak pengguna akan dibenarkan mendaftar masuk ke telefon pintar lain dengan hanya mengesahkan butiran-butiran peribadi pengguna.
Jika ini benar-benar akan dilaksanakan, kemungkinan ianya akan melibatkan penggunaan akaun Facebook pengguna sebagai pilihan melog masuk.
WABetaInfo tidak menyatakan bilakah beta ini bakal diperkenalkan kepada pengguna umum. Dijangkakan, versi umum kemaskini terbaru ini akan diperkenalkan kepada pengguna iOS dan Android dalam tempoh sekitar sebulan atau dua bulan lagi dari sekarang.













