Mark Zuckerberg baru-baru ini telah mengumumkan ciri baharu yang amat dinanti-nantikan di dalam WhatsApp, Chat Filters. Alatan baharu ini kelak membantu pengguna memastikan mesej-mesej mereka teratur dan memudahkan carian mesej tertentu lebih pantas dengan dibahagikan kepada tiga kategori.
Aplikasi permesejan berkenaan kini menapis mesej-mesej di bawah tiga tab iaitu:
- All
- Unread
- Groups
Pastinya bagi anda yang mempunyai terlalu banyak group WhatsApp dapat memanfaatkan kemudahan baharu ini. Malah, di bawah tapisan ‘group’ akan dipaparkan ‘subgroup’ untuknya iaitu Communities.
Menurut laman soalan-soalan lazim WhatsApp, penapis yang dipilih akan kekal selagi anda belum menukar ke penapis baharu atau sehingga anda keluar dan masuk semula ke aplikasi tersebut.
Walaupun anda tidak boleh mengkategorikan semula mesej-mesej tersebut secara manual, anda boleh menambah mesej-mesej tertentu ke dalam tab ‘unread’ dengan menandakan setiap mesej berkenaan sebagai ‘unread’.
Ciri ini dilaporkan telah diuji sejak dari tahun 2022. Bagaimanapun, versi yang dilancarkan ini tidak menyertakan tapisan untuk kategori kenalan (contacts) dan bukan kenalan (non-contacts).
WhatsApp memaklumkan Chat Filters telah mula diterbitkan kepada pengguna-pengguna dan akan diterima secara berperingkat. Lain-lain ciri pengurusan chat juga dilaksanakan melalui kemaskini baharu ini seperti carian mesej mengikut tarikh dan tandaan untuk sehingga tiga chat.