KUALA LUMPUR, 18 NOVEMBER 2024 – TikTok, platform utama untuk video mudah alih, bekerjasama dengan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam untuk edisi kedua Surf’s Up: Deputies of Digital Literacy, yang berlangsung pada 7 November 2024 bersempena Festival COMMED anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media. Acara ini menyatukan suara-suara utama industri, pencipta konten TikTok, dan pelajar dalam sehari yang penuh dengan pembelajaran, dialog, serta komitmen untuk membina komuniti dalam talian yang lebih selamat.
Sebagai sebahagian daripada komitmen untuk mencipta ruang digital yang lebih selamat, TikTok berusaha memupuk literasi digital di universiti-universiti di seluruh Malaysia dengan menekankan nilai sopan-santun dan keselamatan dalam talian. Melalui perbincangan terbuka tentang keselamatan siber, Surf’s Up bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kawal selia kendiri, menggalakkan pelajar mengambil tindakan terhadap kandungan dan interaksi berbahaya, serta merenung cara mereka berinteraksi dalam talian.
Semasa acara tersebut, pelajar UiTM digalakkan untuk berikrar menerusi kempen #ThinkTwice bagi mewujudkan ruang dalam talian yang lebih selamat dan komuniti internet yang positif. Sehingga kini, seramai 571 pelajar UiTM telah membuat komitmen untuk memperjuangkan nilai-nilai murni dalam komuniti mereka, demi memupuk persekitaran digital yang lebih positif dan inklusif.
Satu sesi panel penceramah Surf’s Up telah diadakan khas untuk pelajar UiTM bagi menerokai bagaimana komuniti dapat menyumbang kepada pengalaman internet yang lebih selamat. Ia meliputi tema penting seperti kepentingan internet dalam dunia hari ini, ciri platform dan garis panduan komuniti TikTok, serta kepentingan kawal selia kendiri. Barisan panel terdiri daripada calon ‘Education Creator of the Year’ TikTok Awards Malaysia 2024 serta seorang peguam, Hafiz Baharudin (@lawyerresponse); Pengurus Jangkauan Komuniti dan Perkongsian TikTok Trust and Safety, Waskito Jati; Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood; dan Pensyarah Perhubungan Awam UiTM Shah Alam, Dewi Seribayu Nordin Selat.
“Perkongsian tentang kepentingan literasi digital amat penting dalam membina komuniti dalam talian yang lebih selamat, khususnya dalam kalangan generasi muda masa hadapan. Kami berusaha meningkatkan kesedaran tentang fungsi, bahaya, kesan, dan peluang yang wujud di internet, sambil memperkasakan pelajar dengan pelbagai alat dan kemahiran untuk melayari dunia digital dengan selamat dan bertanggungjawab. Kami berbesar hati melihat kesungguhan pelajar UiTM untuk mempelajari bagaimana mereka boleh memupuk landskap internet yang lebih selamat, dan berharap dapat meneruskan usaha penglibatan komuniti Surf’s Up yang positif pada masa depan,” kongsi Pengurus Jangkauan Komuniti dan Perkongsian TikTok, Waskito Jati.
Selain itu, para pelajar turut berpeluang menyertai sesi interaktif yang eksklusif bersama pencipta konten pendidikan TikTok, Reina Lum dan pengasas bersama Machino, Amy Tai. Reina berkongsi tentang proses penciptaan kandungannya, termasuk cara memastikan kandungannya tepat dan relevan, terutama dalam menangani isu-isu sosial. Amy pula berkongsi tentang perjalanan keusahawanannya serta cara beliau mengurus interaksi di platform seperti TikTok, termasuk komunikasi dengan pelanggan sedia ada dan baharu, di samping cara beliau membezakan antara kehidupan peribadi dan awam di internet.
Edisi Surf’s Up di UiTM ini merupakan siri kedua selepas program pertama yang diadakan di Universiti Nottingham Malaysia pada Julai lalu.