Vivo Malaysia menerusi saluran media sosial rasminya di Facebook telah memaklumkan akan melancarkan telefon pintar terbarunya siri X60.

Siri berkenaan yang dilancarkan di China Disember tahun lalu menawarkan model Pro dan standard. Model Pro Plus siri tersebut diperkenalkan kemudian pada Januari lalu. Tarikan utama siri telefon ini adalah penggunaan optikal Zeiss pada kameranya.

Vivo X60 standard menampilkan paparan rata AMOLED 6.56-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz dengan sokongan HDR10+ dan pengimbas cap jari terbina dalam paparan. Di hadapannya juga menyediakan sebuah kamera 32MP.

Selain itu, ianya menggunakan cipset 5nm Samsung Exynos 1080 dengan konfigurasi RAM sehingga 12GB dan storan 256GB. Telefon ini dioperasikan oleh Vivo OriginOS yang berasaskan Android 11. Bersama-samanya bateri berkapasiti 4,300mAh dengan sokongan pengecasan pantas 33W melalui port USB-C.

Untuk model standard, ia menawarkan kamera dengan tetapan tri-kamera yang terdiri daripada kamera utama 48MP, kamera potret 13MP dengan zum optikal 2x dan kamera utlra-lebar 13MP.

Sesetengah spesifikasi untuk X60 Pro adalah sama dengan model standard, terutamanya pada cipset, skrin, sistem operasi, sokongan pengecasan pantas, kamera hadapan dan belakangnya. Model ini juga hadir paparan melengkung 6.56-inci berserta bateri yang sedikit kecil kapasitinya iaitu 4,200mAh dan juga tambahan kamera periskop 8MP dengan 5x zum optikal. Tidak seperti adik beradiknya yang lain, model Pro ini hanya menawarkan satu pilihan RAM iaitu 12GB sahaja dan storan 256GB.

Bagi Vivo X60 Pro Plus pula, ianya amat berbeza dari segi perkakasannya dan boleh dianggap sudah memasuki kategori peranti mercu. Cipset yang digunakan juga sudah berbeza iaitu Snapdragon 888 berbanding Exynos pada model lain dalam siri ini. Pilihan RAM dan storannya juga masing-masing ditawarkan sehingga 12GB dan 256GB.

Untuk kameranya dibelakang, Vivo X60 Pro Plus menawarkan tetapan kuad kamera yang terdiri sebuah kamera utama 50MP, kamera periskop telefoto 5x zum optikal 8MP, kamera telefoto 2x zum 32MP, dan kamera ultra-lebar 48MP dengan penstabil gimbal. Lain-lain spesifikasinya masih lagi sama dengan versi Pro.

Vivo Malaysia setakat ini masih lagi belum mendedahkan maklumat berhubung tarikh pelancaran Vivo X60 dan harganya bagi pasaran tempatan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.