Dijangkakan menerusi penghasilan USB4 ini, peranti-peranti bersambungan port Thunderbolt mungkin menjadi semakin murah.

Baru sahaja minggu lepas laporan mengenai penyambungan USB 3.2 berkelajuan 20Gbps terbit dengan kemunculannya pada peranti akan direalisasikan pada hujung tahun ini. Hari ini, Intel telah pun mengumumkan sambungan port yang lebih pantas daripada itu, USB4.

Bersempena acara di Taipei awal hari ini, Intel mendedahkan spesifikasi sambungan generasi berikutnya ini mengimplementasikan saluran berganda bagi mencapai tahap kelajuan 40Gbps, walaupun melalui teknologi kabel USB-C sedia ada yang mempunyai persijilan 40Gbps.

Selain itu, memandangkan Intel kini ‘bermurah hati’ menawarkan Thunderbolt 3 kepada pengeluar secara lesen terbuka, USB4 akan diintegrasikan bersama-sama protokol sambungan berkenaan dan seterusnya menjadi Thunderbolt 3 ‘yang baru’. Maknanya, USB4 ini akan menjadi ibu kepada segala pilihan sambungan berwayar peranti-peranti.

Langkah ini pastinya memanfaatkan pengguna apabila 40Gbps merupakan spesifikasi sambungan USB paling minima yang ditawarkan pada peranti-peranti masa depan.

Bagaimanapun, segalanya masih terlalu awal buat USB4 memandangkan USB Promoter Group tidak akan berkongsikan spesifikasi terperinci sehingga tarikh yang dimaklumkan kelak iaitu sekitar pertengahan tahun 2019.

Sumber berita diperoleh dari Engadget China

Tinggalkan komentar