Bowers & Wilkins (B&W) memperkenalkan earbuds nirwayar generasi ketiga dengan menawarkan penambahbaikan yang ketara dari generasi sebelumnya. Sesuai dengan reputasi B&W yang sinonim dengan pengeluar produk audio berkualiti tinggi, earbuds Pi8 turut menawarkan kualiti audio yang mengkagumkan.
Model ini menyokong sambungan Bluetooh 5.4, main semula audio aptX 24-bit 96kHz dan juga aptX Lossless. Ia juga mempunyai penarafan kerintangan air dan debu IP54 dan sokongan teknologi pembatalan hingar aktif (active noise cancellation, ANC) dari B&W sendiri.
Spesifikasi
Pemacu | Kon karbon 12mm |
Pembatal Hingar Aktif (Active Noise Cancellation, ANC) | Ada |
Tempoh bateri | Sehingga 6.5 jam (buds), sehingga 20 jam bersama-sama bekas pengecasan |
Berat | 7g untuk setiap earbud |
Ketersambungan | Bluetooth 5.5 dengan aptX Adaptive, aptX Lossless, USB-C, pengecasan nirwayar |
Kerintangan debu dan air | IP54 |
Lain-lain | Sokongan sambungan berbilang poin sehingga ke dua peranti; Ciri pemindahan semula melalui bekas pengecasan dalam kualiti aptX Adaptive |
Kelebihan dan Kekurangan
Kelebihan
- Tahap perincian dan dinamik yang cemerlang
- Selesa untuk digunakan dalam tempoh yang panjang
- ANC yang berkesan
Kekurangan
- Tiada ujian kemuatan putik telinga
- Tiada audio spatial proprietari
Harga Bowers & Wilkins Pi8 di Malaysia
Dilancarkan bersama-sama Pi6, Bowers & Wilkins Pi8 dijual di pasaran Malaysia pada harga RM2,399 dan mula dijual bermula sejak Oktober ini menerusi TCAcoustic. Anda boleh membeli earbuds ini di kedai fizikal Sonos Concept Store yang bertempat di Starhill Gallery.
Kualiti Bunyi
Bunyi yang dihasilkan oleh earbuds jenama audio popular dari Britain ini memberikan impak yang cemerlang tanpa mengira dari mana sumber media tersebut dimainkan. Asalkan ia bukan kualiti bunyi dari sumber berformat MP3 dengan kualiti bit rendah yang dimampatkan berulang kali.
Untuk penstriman yang dimampatkan secara rendah dari Spotify sekalipun, ia mampu memberikan bunyi yang kaya dengan kepelbagaian. Bunyi bass paras rendah dari lagu ‘Another Bite to Dust’ dari kugiran ‘Queen’ dapat diserlah dengan indah oleh Pi8. Jarang sekali earbuds nirwayar dapat menyerlahkan bunyian bass aras rendah dengan jelas seperti yang disediakan oleh earbuds keluaran Bowers and Wilkins ini.
Manakala lagu ‘Janji Manis’ oleh ‘Kugiran Masdo’ pula petikan gitar dari Asmawi dan juga vokal lunak Ali Sariah dipersembahkan dengan cemerlang seolah-olah saya sedang menikmati malam pesta muda-mudi secara langsung.
Fungsi sokongan lain bagi meningkatkan pengalaman pendengaran anda seperti ANC dan pass-through turut disediakan. Anda boleh menggunakan fungsi Pembatalan Hingar Aktif (Active Noise Cancellation, ANC) jika ingin menikmati media yang dimainkan tanpa gangguan bunyi-bunyian dari luar. Dalam pada masa yang sama anda juga boleh mengaktifkan fungsi pass-through yang membenarkan bunyi-bunyian dari luar didengari oleh anda.

Pi8 juga menggunakan cipset Qualcomm generasi terkini yang menyokong Bluetooth 5.4. Bagaimanapun Bowers & Wilkins menggunakan penguat (amplifier) DAC/DSP khusus berprestasi tinggi khas yang berasingan dan tidak melalui cip Qualcomm berkenaan.
Justeru, memberikan kesan audio yang lebih lunak berdasarkan citarasa dan kepakaran oleh Bowers & Wilkins sendiri. Turut disediakan sokongan main semula audio aptX 24-bit 96kHz dan juga aptX Lossless.
Cuma untuk audio spatial proprietari, earbuds ini tidak menyediakannya.
Anda juga boleh menggunakan aplikasi Bowers & Wilkins Music untuk membuat penalaan pada equalizer (EQ) mengikut citarasa anda. Atau, jika anda seperti saya aktifkan sahaja togol True Sound di dalam pilihan ‘Advance EQ’ itu juga untuk terus menikmati muzik mengikut talaan yang telah disediakan.
Rekabentuk
Earbuds ini boleh didapati dengan pilihan warna Anthracite Black, Dove White, Midnight Blue (seperti unit ulasan yang kami terima) dan Jade Green. Badannya diperbuat daripada plastik, namun kemasan matte pada luarannya memberikan rasa yang lebih premium.
Terdapat satu ruangan kecil pada bahagian earbuds yang mengandungi corong-corong yang mengandungi mikrofon dan sensor. Lokasinya kelihatan strategik yang meningkatkan keupayaannya untuk ciri-ciri seperti ANC dan juga sokongan ketika menjawab panggilan.
Melalui penarafan kerintangan debu dan air IP54 pada Pi8 ini juga mampu memberikan perlindungan sebahagian dari kerosakan akibat debu dan juga percikan air.
Di dalam kotak pembungkusannya juga disediakan empat saiz berbeza putik telinga silikon earbuds berkenaan yang terdiri daripada ‘extra small’, ‘small’, ‘medium’ dan ‘large’. Mengikut kesesuaian saiz lubang telinga anda, rekabentuk earbuds ini memudahkan anda meletakkannya pada lubang telinga anda tanpa perlu menyumbatkannya ke bahagian terlalu dalam.
Bagaimanapun ketiadaan sokongan ujian kemuatan putik telinga (ear fit test) mungkin menyebabkan terdapat segelintir pengguna yang sedikit sukar untuk memastikan putik telinga yang digunakan benar-benar muat dengan selesa.
Tempoh penggunaan bateri
Pi8 boleh digunakan sehingga sekitar 6 jam setengah dan bersama-sama dengan bekas pengecasnya ia boleh dilanjutkan sehingga 20 jam untuk penggunaan ketika ANC diaktifkan. Bagi penggunaan tanpa mengaktifkan ANC, tempohnya mampu lebih panjang daripada itu.
Kesimpulan
Sesuai dengan status dan harganya yang premium, Bowers & Wilkins Pi8 menepati jangkaan dengan menawarkan kualiti audionya yang tinggi dan juga rekabentuknya yang memudahkan pengguna.
Bowers & Wilkins Pi8 dengan cemerlang menyampaikan audio yang sofistikated, seimbang dan jelas. Sesuatu yang jarang ditawarkan untuk sesebuah earbuds nirwayar. Anda yang benar-benar mencintai alunan muzik berkualiti mungkin wajar mempertimbangkan untuk memiliki Bowers & Wilkins Pi8 sungguhpun harga jualan boleh dikirakan agak bangsawan juga.