Canonical menerbitkan versi terkini platform Ubuntu, 15.10 (Willy Werewolf) dengan ciri-ciri penambahbaikan terbaru seperti SDN Tools dan OpenStack Autopilot. Ubuntu 15.10 Willy Werewolf boleh dimuat turun mulai hari ini.
Turut disenaraikan di dalam versi terkini adalah pelayar web Firefox 41, Libre Office 5 dan lain-lain kelengkapan desktop yang biasa digunakan oleh para pengguna Ubuntu. Desktop sistem operasi sumber terbuka ini juga turut diperhalusi binaannya untuk mempertingkatkan kestabilan dan kecekapannya untuk memudahkan pengguna mengendalikannya.
Antara perubahan ketara yang boleh dilihat oleh pengguna pada bahagian desktop adalah penggunaan lapisan telus palang skrol Gnome yang mempermudahkan pengguna melakukan pelbagai tugas antara tetingkap-tetingkap.
Untuk versi pelayan pula, Ubuntu 15.10 Server memperkenalkan sistem kerja awanan terbaru OpenStack Liberty dan OpenStack Autopilot.
Menurut Shawn Madden, pengurus produk Autopilot di Canonical, “Autopilot offers enterprises a smart, way to scale their cloud technically and financially. We have built Autopilot to deliver superior scale and economics in a simple to use package. (Autopilot menawarkan perusahaan satu cara pintar untuk menguruskan awanan mereka secara teknikal dan ekonomi. Kami membina Autopilot untuk menyediakan cara kerja yang lebih bagus di dalam pakej yang mudah untuk digunakan.”
-Sumber berita diperoleh dari Tech Week Europe