Opensignal pada minggu lalu telah menerbitkan edisi kedua Global Mobile Network Experience Awards berdasarkan data dari pertengahan tahun 2020.
Pada tahun sebelumnya, U Mobile telah mencapai salah sebuah syarikat telekomunikasi paling banyak meningkat di dunia. Kini, untuk edisi terkini, Unifi Mobile dan Digi turut sama tersenarai.
Sebanyak 30 syarikat yang dicatatkan sebagai syarikat paling banyak meningkat telah disenaraikan di dalam Opensignal Global Rising Stars ini. Ia berdasarkan pencapaian di dalam lima kategori sepanjang pertengahan tahun 2020 dan 2019.
U Mobile telah disenaraikan untuk empat dari kategori berkenaan termasuklah Pengalaman tontonan Video, Pengalaman Kelajuan Memuat turun, Keberadaan 4G dan Pengalaman Aplikasi Suara. Opensignal menyatakan kadar peningkatan yang telah dicapai adalah masing-masing 36.6%, 44.7%, 11.7%, dan 3.7%.
Bagi Unifi Mobile pula, ia disenaraikan bagi kategori Pengalaman tontonan Video dan Pengalaman Kelajuan Memuat turun. Penyedia perkhidmatan selular dari TM ini mencatatkan peningkatan masing-masing pada 13.1% dan 27.6%.
Pada masa yang sama, Digi yang turut disenaraikan di dalam anugerah berkenaan telah mencatatkan peningkatan menerusi kategori Kelajuan Memuat Naik. Bagi kategori berkenaan Digi mencatatkan kadar peningkatan sebanyak 26.8%.
Catatan yang direkodkan oleh Opensignal ini bagaimanapun tidak menggambarkan prestasi secara keseluruhan mana-mana syarikat telekomunikasi di Malaysia. Ianya lebih berdasarkan pada kadar peningkatan yang telah dicapai.
Apa yang dihadapai oleh setiap pengguna perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia tidak semestinya sama. Ada pengguna yang dapat menikmati kelajuan yang baik dan sesetengahnya yang terpaksa menghadapi masalah dalam beberapa keadaan.
Penambahbaikan yang telah dilakukan oleh setiap pihak dalam meningkatkan teknologi tempatan pastinya dihargai demi matlamat kemajuan negara kita bersama.













