Kebanyakan pengguna yang berulang-alik ke tempat kerja menggunakan lebuhraya mungkin merasa terbeban dengan kos yang perlu dibayar setiap hari. Bagaimanapun, bagi pengguna di sekitar Lembah Klang dapat menarik nafas lega apabila kadar tol bagi empat buah lebuhraya akan diturunkan bermula dari 20 Oktober 2022.
Menurut laporan dari Bernama, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaacob telah mengumumkan pihak kerajaan telah bersetuju untuk menstrukturkan semula empat syarikat konsesi lebuhraya bertol di bawah Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS). Lebuhraya-lebuhraya yang dimaksudkan ialah:
- Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH)
- Guthrie Corridor Expressway (GCE)
- Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA)
- Kajang Dispersal Link Expressway (SILK)
Selain itu, dua lagi konsesi lebuhraya bertol di bawah IJM Corporation Berhad turut menurunkan kadar tol bermula 1 Januari 2023 melibatkan:
- Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS)
- Sungai Besi Expressway (BESRAYA)
Laporan berkenaan juga memetik Perdana Menteri menyebut penstrukturan semula ini akan memberikan penjimatan kepada pihak kerajaan sebanyak RM8.8 billion. Penurunan kadar tol ini juga mengurangkan kos kepada pengguna yang perlu menggunakan lebuhraya-lebuhraya berkenaan.
Pengumuman tersebut di buat ketika Perdana Menteri merasmikan pembukaan Damansara-Shah Alam Elevated Highway (DASH). Pembinaan lebuhraya tersebut dimulakan sejak dari Ogos 2016 dan telah disiapkan pada 30 September 2022 dengan menelan belanja sebanyak RM4.2 billion.
Melalui pembukaan lebuhraya ini, kesesakan di beberapa lokasi dapat dikurangkan sehingga 40% ketika waktu puncak. Selain itu, waktu perjalanan dari susur keluar Puncak Perdana ke susur keluar Penchala akan dikurangkan sebanyak 30 minit berbanding 90 minit menggunakan laluan sedia ada.

Damansara-Shah Alam Elevated Highway (DASH) tidak mengenakan sebarang bayaran tol bersempena pembukaannya bermula dari 14 Oktober sehingga 30 November 2022.














