Tesla dilaporkan telah membatalkan semua rancangan untuk membina kilang-kilang pembuatan kenderaan elektrik (electric vehicle, EV) di Malaysia. Menurut laporan dari media Thai, The Nation, keputusan tersebut turut melibatkan negara-negara lain termasuk Indonesia dan Thailand. Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan rancangan sedia ada melibatkan China, Amerika Syarikat dan Jerman.
“Tesla buat masa ini hanya membincangkan stesen pengecasan sahaja dengan rancangan membina kilang-kilang ditangguhkan bukan sahaja di Thailand, malah di seluruh dunia. Pihak syarikat berkenaan juga tidak meneruskan rancangannya di Malaysia, Indonesia dan negara-negara lain kecuali di China, Amerika Syarikat dan China,” menurut sumber berkenaan kepada The Nation. Selain itu, pasukan eksekutif yang bertanggungjawab membawa ke Asia Tenggara juga telah dibubarkan.
Berita ini agak mengejutkan mengambil kira pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengumumkan Tesla dan SpaceX akan membawa pelaburan yang besar ke dalam negara.
Pelaburan itu juga dikatakan bakal mampu mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Jalinan kesepakatan itu juga membawakan kepada pelancaran kenderaan Tesla Model Y ke pasaran Malaysia disamping pembukaan pusat operasinya di Cyberjaya.













