Pengeluar telefon pintar Android sejak sekian lama cuba mengalih keluar takuk yang menempatkan kamera hadapan pada bahagian paparannya. Ia dijangka akan hadir apabila teknologi kamera di bawah paparan mula matang.
Apple pula dilihat mula mengambil pendekatan yang berbeza untuk kamera hadapan tersebut melalui siri iPhone 14 Pro. Bahagian tersebut tidak disorokkan sebaliknya ia dimanfaatkan sebaiknya melalui ciri Dynamic Island.
Ia menggunakan kawasan di sekitar takuk bagi menunjukkan notifikasi dan pemberitahuan melalui animasi yang menarik. Keunikan tersebut dijangka akan diikuti oleh pengeluar-pengeluar Android pada telefon pintar yang akan datang.
Salah satu pembangun tema untuk antaramuka Mi baru-baru ini telah mengambil inspirasi dari ‘Dynamic Island’ tersebut ke dalam telefon pintar Xiaomi melalui tema MIUI.
YouTuber dengan nama Vaibhav Jain telah berkongsikan video di Twitter yang menunjukkan tema tersebut yang dikenali sebagai “Grumpy UI”. Menurutnya, tema MIUI berkenaan kini sedang di dalam pembikinan dan hanya menyokong bahasa Cina. Video tersebut juga menunjukkan tema tersebut mampu menggunakan paparan berlubang pada kamera hadapan peranti dengan baik.
Dynamic Island Style Notifications / Now Playing on Xiaomi MIUI. Mi Theme Developers never disappoint 😎 pic.twitter.com/ImHmbkRZnb
— Vaibhav Jain (@vvaiibhav) September 11, 2022
Pun begitu, tema tersebut mungkin tidak mampu mengikuti sepenuhnya kefungsian Dynamic Island pada iPhone 14 Pro. Tema MIUI ini juga hanya menyokong elemen pengkulitan (skinning) UI yang unik sahaja dan tidak membenarkan pengubahsuaian ketara pada sistem.
Berbeza dengan iPhone, Android mempunyai sistem notifikasi yang lebih menyeluruh bagi memudahkan pengurusan pemberitahuan dari pelbagai aplikasi dan perkhidmatan. Oleh itu, fungsi Dynamic Island pada Android ini tidak begitu berguna sangat sebenarnya. Tapi, kalau nak merasa tu apa salahnya, ye dak?
Buat masa ini tema Grumpy UI ini masih lagi dalam proses ulasan oleh Xioami dan dijangka hadir ke gedung tema MIUI sebaik sahaja mendapat kelulusan.













