Salah sebuah hab bas utama di Lembah Klang, Terminal Bersepadu Selatan, baru-baru ini telah mengumumkan para penggunanya boleh membuat pembelian tiket melalui aplikasi edompet.

Pengumuman ini dibuat tidak lama selepas usaha pihak kerajaan menggalakkan penggunaan edompet secara besar-besaran melalui program e-Tunai rakyat.

Menurut TBS, terdapat dua perkhidmatan edompet yang kini disokong oleh sistem tiket TBS iaitu Boost dan eDompet Touch ‘n Go. Para pengguna boleh menggunakannya di kaunter tiket TBS yang terletak di Aras 3 terminal berkenaan.

Sementara itu di dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pengangkutan Encik Anthony Loke telah mengumumkan Kementerian Pengangkutan kini sedang berusaha memastikan terminal-terminal bas awam di seluruh Malaysia menyokong kaedah pembayaran nirtunai.

Bagaimanapun, beliau turut menegaskan pelaksanaan ini perlu dilaksanakan secara berperingkat bagi memberi peluang untuk terminal-terminal mempersiapkan infrastruktur ke arah cara pembayaran baru berkenaan.

Salah satu komponen kritikal yang diperlukan untuk menyokong sistem pembayaran nirtunai adalah sistem tiket berpusat yang kini hanya terdapat di beberapa terminal bas sahaja. Setakat ini, Encik Anthony Loke masih lagi belum menyatakan tarikh akhir pelaksanaan sistem nirtunai ini di terminal-terminal bas di seluruh Malaysia.

Sumber berita diperoleh dari Bernama dan Facebook Terminal Bersepadu Selatan

Tinggalkan komentar