Terdapat sedikit kekeliruan yang membabitkan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas pembelian tambah nilai prabayar telekomunikasi, menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Kekeliruan ini telah menyebabkan pengguna yang membeli tambah-nilai RM10 sejak dari 1 September 2018, hanya diberikan kredit sebanyak RM9.43.
Berikutan itu, kerajaan akan mengarahkan supaya syarikat telekomunikasi memberikan rebat kepada pengguna. Selain itu, cukai SST tidak perlu dibayar oleh pengguna, tambah Menteri Kewangan berkenaan lagi.
Untuk mana-mana pengguna yang melakukan tambah nilai sejak dari tarikh pelaksanaan sistem SST telah ditawarkan promosi oleh syarikat-syarikat telco sebagai ganti kepada penolakan 6 peratus kredit isian semula. Namun, tidak semua pengguna menyambut baik promosi yang ditawarkan ini.
Dijangkakan, melalui pengumuman ini kita bakal melihat perubahan terhadap SST untuk tambah nilai prabayar dalam masa yang terdekat ini.
Apapun, pada pendapat saya sendiri, biarlah kalau boleh tambah nilai ini biarlah kreditnya sama dengan nilai yang kita bayar. Tidak kurang dan tidak lebih. Lagipun, sebelum pelaksanaan GST dahulu iaitu sewaktu kita masih menggunakan SST pun, kita mendapat kredit tambah nilai yang sama nilainya dengan jumlah isian semula yang kita masukkan. Mengapa pula secara tiba-tiba ada perubahan sewaktu sistem SST ini diperkenalkan semula?
Sumber berita diperoleh dari Astro Awani













