Boleh dikatakan, kebanyakan dari kita menggunakan papan kekunci hampir setiap hari. Tak kiralah sama ada pada desktop, laptop mahupun di tablet dan telefon pintar. Tetapi, pernahkah anda terfikir mengapa susun atur abjad di atas papan kekunci tidak mengikut turutan abjad?

Hampir kesemua peranti-peranti pada masa kini yang memerlukan input dari papan kekunci menggunakan susun atur yang dinamakan sebagai QWERTY. Susun atur berkenaan mula diguna pakai sejak tahun 1873 lagi. Namun, sehingga hari ini kita masih lagi menggunakan tata cara susunan papan kekunci QWERTY ini.

Susunan berkenaan memerlukan masa yang agak panjang untuk pengguna mahir menggunakannya. Memang benar, ada sesetengah pengguna yang sudah dapat membiasakan diri menaip dengan pantas menggunakan susun atur ini hinggakan tidak lagi perlu melihat pada papan kekunci untuk menaip. Namun, tidak kurang juga masih ramai lagi pengguna yang menaip pada komputer dengan menggunakan satu jari sahaja! Serupa ayam patuk dedak.

Punca sebenar kenapa papan kekunci disusun menggunakan susun atur QWERTY adalah disebabkan cara penggunaan mesin taip (typewriter) oleh jurutaip pada peringkat awal mesin berkenaan dihasilkan. Pada asalnya, susun atur papan kekunci memang pernah disusun mengikut turutan abjad dari A sehingga Z.

Namun, disebabkan kepantasan jurutaip menaip dengan susun atur abjad A-Z pada waktu itu, rod mekanikal yang bersambung dengan kekunci setiap huruf kerapkali tersangkut di antara satu sama lain. Untuk menyelesaikan masalah ini, papan kekunci QWERTY telah dibangunkan.

Ia disusun dengan menjarakkan huruf-huruf yang kerap digunakan untuk mengurangkan tahap kekerapan rod-rod mekanikal setiap huruf dari tersangkut. Lama-kelamaan susun atur papan kekunci berkenaan menjadi standard apabila pengeluar mesin taip paling popular pada ketika itu, Remington menggunakannya hingga menjadi ikutan pengeluar-pengeluar lain.

Dalam tempoh lebih dari 140 tahun sehingga kini, kita masih lagi menggunakan susun atur berkenaan sungguhpun masalah untuk rod mekanikal tersangkut seperti yang kerap berlaku pada mesin taip tidak akan berlaku pada komputer dan telefon pintar.

Ada usaha-usaha yang pernah dilakukan untuk mengubah susun atur papan kekunci ini seperti memperkenalkan susun atur DVORAK yang direka khusus untuk meningkatkan kelajuan menaip.

Papan Kekunci DVORAK – Fentek Industries

Tidak kurang juga usaha untuk memperkenalkan susun atur papan kekunci yang disusun mengikut turutan abjad A-Z seperti di dalam gambar rajah di bawah.

Papan Kekunci ABCDE – Hardware Heaven

Walaubagaimanapun, mungkin sudah terlalu biasa menggunakan susun atur yang diperkenalkan lebih dari 140 tahun ini, kebanyakan pengguna menjadi terlalu sukar untuk beralih ke susun atur lain. Mungkin, susun atur QWERTY pada papan kekunci peranti akan kekal sampai bila-bila.

Imej cover diperoleh dari Freepik

1 komen

Tinggalkan komentar