Intel dan Micron mempunyai teknologi baharu untuk storan data. Teknologi storan terbaru ini menjadikan storan keluaran mereka lebih tumpat, lebih lasak dan lebih pantas berbanding teknologi sedia ada. Dalam satu ucaptama semalam, pihak Intel dan Micron menyatakan bahawa storan dengan teknologi baharu ini sudah mula dihasilkan untuk pasaran.
Melalui penggunaan teknologi 3D Xpoint (kategori baharu untuk memori tidak meruap, non-volatile memory), ia menjadikan storan 1,000 kali ganda lebih pantas dari kad-kad memori kilat (flash memory) dan pemacu keadaan pepejal (solid state drive) sedia ada yang menggunakan teknologi senibina NAND.
Tanpa menggunakan transistor, senibina baharu ini bergantung kepada perubahan sifat bahan pukal (bulk material property change) untuk mengubah bit dari keadaan kerintangan rendah ke kerintangan tinggi. Dari situ, sel-sel ingatan (memory) akan dilapiskan mengikut corak papan dam yang rumit, di mana para penyelidik Intel menyatakan bahawa ianya 10 kali ganda lebih tumpat dari teknologi ingatan sedia ada.
”Untuk berdekad lamanya, industri telah mencari pelbagai cara untuk mengurangkan lat masa (lag time) antara pemproses dan data supaya analisis lebih pantas dapat dilakukan (For decades, the industry has searched for ways to reduce the lag time between the processor and data to allow much faster analysis),” ujar Naib Presiden Intel Rob Crooke dalam satu kenyataannya.
”Kelas baharu ingatan tidak meruap ini telah berjaya mencapai matlamatnya dan ia mampu mendatangkan perubahan besar dari segi prestasi memori dan storan (This new class of non-volatile memory achieves this goal and brings game-changing performance to memory and storage solutions),”
Keterbatasan memori kelas baharu ini masih belum diketahui dan dijangkakan ianya menjadi pilihan utama untuk melakukan storan jangka panjang kerana sifat ingatannya yang tahan lasak dan tidak meruap. Namun, Intel turut menyatakan bahawa storan ini mampu menjadikan pengalaman permainan komputer lebih menarik dan mengagumkan.
–Sumber berita diperoleh dari Intel













