Sony telah melancarkan dua buah telefon pintar mercu baharunya di dalam acara maya khas Pengumuman Produk Xperia semalam. Telefon pintar berkenaan, Xperia 1 III dan Xperia 5 III merupakan kesinambungan dari model peringkat atas tahun lepas.

Dari segi rekaan, kedua-dua model masih lagi mengekalkan rupa bentuk yang sama dengan keluarannya yang terdahulu. Antaranya termasuklah kamera kecil di hadapannya di sebelah atas bingkai tipisnya, dwi pembesar suara stereo, bicu audio 3.5mm, dan port USB-C. Kedua-dua model baharu ini juga mempunyai kerintangan debu dan air dengan penarafan IP65/68.

Apa yang membezakannya dengan modelnya terdahulu antaranya adalah sebuah kamera periskop yang bergandingan dengan kamera-kamera belakangnya.

Sony Xperia 1 III

Sony Xperia 1 III yang lebih besar berbanding sebuah lagi model di dalam siri ini menawarkan paparan OLED 6.4-inci 4K. Paparan dengan nisbah aspek 21:9 turut menyediakan sokongan HDR dan kadar penyegaran semula 120Hz dan dilindungi oleh kaca Corning Gorilla Glass Victus.

Sony Xperia 1 III Water Resistant
Sony Xperia 1 III

Di dalam telefon pintar ini, ia dikuasakan oleh cipset mercu Snapdragon 888, bergandingan dengan RAM 12GB dan storan sehingga 512GB.

Turut disediakan bateri berkapasiti 4,500mAh yang menyokong pengecasan pantas 30W melalui USB-C. Menurut Sony, telefon ini berkeupayaan mengecas 50% penuh dalam tempoh 30 minit. Ia juga menyokong pengecasan secara nirwayar, tetapi ini tidak dinyatakan menerusi pengumuman tersebut.

Berbalik kepada kamera di belakangnnya, tetapan kuad-kamera Xperia 1 III hadir dengan lensa bersalut ZEISS T*. Kamera-kameranya mengandungi sebuah kamera 12MP 1/1.7-inci dengan OIS sebagai kamera utamanya, kamera ultra-lebar 12MP 1/2.6-inci, kamera telefoto baharu 12MP 1/2.9-inci dengan sokongan Dual Pixel PDAF & OIS, dan kamera berkedalaman 0.3MP TOF 3D. Apa yang unik tentang kamera telefoto ini adalah ianya hadir dalam bentuk periskop dan mampu mengezum secara optikal pada 70mm (~3x) dan 105mm (~5x) dan sehingga 300mm secara digital. Untuk kamera hadapannya pula ditempatkan sebuah kamera swafoto 8MP.

Sony Xperia 5 III

Seterusnya untuk Xperia 5 III pula, telefon pintar ini menawarkan paparan yang sedikit kecil iaitu OLED HD penuh 6.1-inci. Paparan ini juga menawarkan nisbah aspek 21:9, kadar penyegaran semula 120Hz, dan perlindungan Gorilla Glass 6.

Sony Xperia 5 III
Sony Xperia 5 III

Ia juga menggunakan cipset Snapdragon 888, tetapi berbeza penawaran konfigurasinya iaitu hanya menyediakan pilihan RAM 8GB dan storan sehingga 256GB sahaja. Untuk bateri, kapasiti dan kelajuan pengecasan berwayarnya adalah sama dengan model yang sebuah lagi, namun tidak menyediakan sokongan pengecasan nirwayar.

Tetapan tri-kamera Xperia 5 III adalah sama dengan Xperia 1 III, cuma tidak disertakan bersama kamera berkedalaman TOF 3D. Kamera hadapannya juga mempunyai persamaan iaitu 8MP.Sony Xperia 1 III Malaysia

Model keluaran tahun ini juga turut menawarkan ciri kawalan kuasa Heat Suppression yang sama seperti Sony Xperia tahun lalu. Fungsi yang boleh diketemukan di dalam Game Mode ini membolehkan telefon menggunakan kuasa secara terus melalui pengecas USB tanpa melalui baterinya. Di samping itu, mod ini juga menghalang bateri dari dicaskan dan seterusnya mengurangkan penjanaan haba dari peranti ini.

Sony Xperia 1 III dan Xperia 5 III
Sony Xperia 1 III (kiri) dan Xperia 5 III (kanan)

Xperia 1 III ditawarkan di dalam pilihan warna Frosted Black dan Frosted Purple, manakala Xperia 5 III hanya boleh didapati di dalam warna Hijau sahaja. Sony telah mengesahkan kedua-dua telefon pintar mercu ini akan hadir ke pasaran Malaysia pada tahun ini. Xperia 1 III dijangka dilancarkan untuk pasaran tempatan pada Julai ini, manakala Xperia 5 III pula pada bulan September. Harga bagi kedua-dua peranti ini akan diumumkan pada pelancarannya di pasaran Malaysia kelak.

Tinggalkan komentar