Bermula dari 1 Mac ini, penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas yang masih belum menerima suntikan dos penggalak akan hilang status vaksinasi penuh di dalam aplikasi MySejahtera masing-masing.

Maklumat yang pernah diumumkan oleh pihak kementerian sebelum ini telah diulang sekali lagi oleh Menteri Kesihatan semalam. Perubahan ini akan melibatkan kesemua penerima vaksin tanpa mengira jenis yang diterima semasa dos pertama dan kedua.

Menerusi sidang media yang diadakan pada jam 5 petang semalam, menteri berkenaan, Khairy Jamaluddin menjelaskan:

“Sekiranya tidak, sijil digital itu akan tukar warna kepada putih, maksudnya status vaksinasi penuh tidak lagi diberikan dan sekatan akan dibuat di pintu masuk tertentu.

“Saya setuju dengan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) bahawa ada keengganan penerima Sinovac, contohnya untuk terima dos penggalak Pfizer.

“Saya nak umumkan ada 3.5 juta penerima vaksin primer Sinovac belum terima dos penggalak lagi. Ramai ini, dan mereka terdedah kepada gelombang Omicron sebab keberkesanan Sinovac tidaklah setinggi Pfizer, walaupun berkesan, tidaklah sebaik dan efektif Pfizer.

“Sebab itu saya sudah buat keputusan bahawa, kita lebih menggalakkan mereka menerima Pfizer dan Astra Zeneca, tetapi apa juga penggalak lebih baik dari tidak ada langsung. Sebab itu kita akan berikan janji temu untuk mereka pilih sekiranya mereka mahukan Sinovac bagi dos penggalak mereka,”

Berdasarkan maklumat yang terkini, seramai 3.5 juta penerima vaksin Sinovac masih belum menerima dos penggalak. Hal ini dibimbangi akan menyebabkan golongan ini terdedah kepada ancaman varian Omicron yang kian meningkat di Malaysia buat masa ini.

Ketika ini, penerima vaksin Sinovac masih boleh memilih untuk mendapatkan dos penggalak Sinovac. Walaubagaimanapun, orang ramai digalakkan untuk mendapatkan vaksin penggalak Pfizer atau Astra-Zeneca untuk lebih daya tahan imuniti.

Tinggalkan komentar