Utama Perbankan SEDC Energy (SEDCE) tandatangani perjanjian dengan UOB Malaysia untuk biayai rantaian bekalan...

SEDC Energy (SEDCE) tandatangani perjanjian dengan UOB Malaysia untuk biayai rantaian bekalan dan projek peralihan hijau

47
0

Kuching, Malaysia, 6 Jun 2024 – UOB Malaysia dan SEDC Energy (SEDCE) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam membantu perniagaan di Sarawak dan juga sektor tenaga baharu di negeri tersebut.

Di bawah MoU ini, UOB Malaysia akan memperkasa ekosistem rantaian bekalan pembekal, vendor dan kontraktor SEDCE dengan memberikan lebih peluang pembiayaan kepada mereka. Melalui Program Pengurusan Rantaian Bekalan Kewangan (FSCM) Bank, syarikat tempatan dapat mengakses pelbagai perkhidmatan perbankan untuk keperluan modal kerja dan transaksi mereka. Ini termasuk pembiayaan perdagangan yang khusus, Pembiayaan Rantaian Bekalan dan penyelesaian pengurusan tunai bagi mengembangkan perniagaan.

Di bawah perjanjian kerjasama ini, UOB Malaysia juga akan memanfaatkan Rangka Kerja Pembiayaan Mampan yang komprehensif bagi menyokong projek peralihan hijau SEDCE, menandakan komitmen bersama dalam memajukan pembangunan mampan di Sarawak. Komitmen UOB Malaysia terhadap kemampanan bukan sekadar pembiayaan, malah Bank akan bekerjasama dengan SEDCE serta agensi negeri lain yang berkenaan untuk membantu perniagaan beralih kepada amalan rendah karbon dan mampan di Sarawak.

Pertukaran dokumen perjanjian MoU telah berlangsung antara Ketua Pegawai Eksekutif SEDCE, Encik Robert Hardin dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Puan Ng Wei Wei, disaksikan oleh Yang Amat Berhormat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, di Sarawak Electrolyser Assembly – Distribution Facility (SEA-DF) di Taman Perindustrian Demak Laut.

Encik Hardin berkata, “Kerjasama dengan UOB mengukuhkan kedudukan SEDCE sebagai salah satu syarikat hidrogen di rantau ini yang memainkan peranan dalam menyokong inisiatif tenaga baharu bersih Sarawak. Kami bangga untuk bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan dalam perniagaan baharu ini, justeru mengambil langkah ke arah pelaburan masa depan yang lebih bersih.”

Puan Ng berkata, “MoU ini merupakan suatu permulaan kerjasama penting di antara UOB Malaysia dan SEDCE untuk menyokong pembangunan ekonomi dan agenda hijau Sarawak. Penyelesaian pembiayaan komprehensif kami bukan sahaja akan membantu SEDCE dalam melaksanakan projek peralihan hijau tetapi juga meluaskan sumber kewangan kritikal kepada syarikat itu. keseluruhan rantaian bekalan, membantu perniagaan tempatan berkembang dan meningkatkan daya saing mereka. Selain itu, SEDCE dan rantaian bekalannya juga akan dapat memanfaatkan keupayaan Pengurusan Rantaian Bekalan Kewangan UOB Infinity, iaitu platform perbankan digital perniagaan kami, untuk meningkatkan lagi kecekapan operasi di samping mengurus kecairan dan transaksi kewangan.”

Sarawak kini menggunakan 70 peratus tenaga bersih yang diperoleh daripada empangan hidroelektriknya, iaitu, Empangan Hidroelektrik Batang Ai, Empangan Hidroelektrik Bakun dan Empangan Hidroelektrik Murum, manakala Empangan Hidroelektrik Baleh masih dalam pembinaan.

Sarawak, diberkati dengan tenaga hidro dan bekalan air yang mencukupi dan mampu milik, berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi hab pengeluaran hidrogen bersih bagi kegunaan domestik dan eksport. Hidrogen bersih atau rendah karbon merupakan pembawa tenaga serba boleh yang memainkan peranan dalam peralihan tenaga. Ia boleh membantu menyahkarbon pelbagai sektor yang intensif tenaga dan sukar dihentikan (hard-to-abate) seperti pengangkutan, serta sektor yang memerlukan tenaga haba untuk proses perindustrian seperti bahan kimia, besi atau keluli.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.