Dilaporkan Samsung mungkin secara tidak sengaja telah mentiriskan maklumat mengenai peranti boleh pakai (wearables) keluarannya lebih awal dari tarikh pelancarannya yang dikatakan akan dibuat pada acara Unpacked pada bulan hadapan.
Ia pertama diketemukan oleh pengguna X (dahulu dikenali sebagai Twitter) @RydahDoesTech yang berkongsikan tangkapan layar aplikasi Samsung Members. Menerusinya terdapat senarai peranti-peranti yang dimaksudkan seperti Galaxy Watch7, Galaxy Watch FE, Galaxy Ring, dan siri Galaxy Buds 3.
Bahagian khusus tersebut menunjukkan tangkapan layar yang dipercayai akan menjadi sebahagian menu pilihan peranti untuk melaporkan isu di dalam aplikasi berkenaan. Senarai berkenaan juga menunjukkan ikon-ikon yang mewakili setiap peranti.
Samsung leaking their own products is priceless. Here's the Galaxy Buds3 and Buds3 Pro 👋🏽 pic.twitter.com/2mJP3ZFOa9
— Rydah (@RydahDoesTech) June 12, 2024
Senarai tersebut juga dilihat mengesahkan Galaxy Buds Leak 3 yang ditiriskan maklumatnya oleh Evan Blass awal minggu ini. Menurutnya, earbud Samsung generasi berikutnya ini menampilkan rekaan bertangkai mirip dengan Apple Airpods.
Lain daripada itu, turut disenaraikan nama-nama untuk Galaxy Watch 7, namun tiada sebarang varian Ultra kelihatan. Model Watch FE yang lebih mesra bajet bagaimanapun kelihatan di dalam senarai tersebut.
Kesemua peranti-peranti yang dinyatakan tersebut dijangkakan akan membuat penampilan julung kalinya di dalam acara Samsung Unpacked berikutnya yang berkemungkinan akan diadakan di Paris, 10 Julai 2024.