Selepas acara MWC 2021 melabuhkan tirainya, Samsung kini menumpukan acara berikutnya,UNPACKED yang akan berlangsung pada 11 Ogos ini. Acara ini akan melancarkan peranti-peranti baharu Samsung merangkumi Galaxy Z Fold3, Z Flip3, Buds2 dan Watch4.

Tumpuan utama pastinya terarah pada Galaxy Z Fold3 selepas ketiadaan pengumuman Galaxy Note baharu diumumkan pada tahun ini.

Pun begitu, telefon pintar baharu ini disahkan akan didatangkan dengan sokongan S Pen.

Samsung Galaxy Z Fold3 menampilkan dua paparan Super AMOLED. Iaitu paparan luaran 6.23-inci dan paparan dalaman 7.55-inci. Berdasarkan penemuan yang dibuat oleh GeekBench, telefon ini menggunakan cipset Snapdragon 888, RAM 12GB dan menggunakan Android 11.

Untuk kameranya, ianya dijangka mempunyai lima kamera, dengan tiga kamera pada bahagian belakangnya, satu untuk kamera swafoto yang terbina dalam paparannya dan satu lagi pada kamera bahagian luarannya. Selain itu, model keluaran tahun ini juga dikatakan akan ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding model keluaran terdahulu.

Seterusnya, Galaxy Z Flip3 pula tidak begitu banyak diperkatakan mengenai spesifikasi dalamannya sebelum ini. Ia dijangkakan hadir dengan cipset Snapdragon 888, RAM 8GB dan bateri berkapasiti 3,300mAh dengan sokongan pengecasan berwayar 25W dan nirwayar 15W.

Berdasarkan imej pengolokan yang tertiris di internet, Z Flip3 mempunyai paparan luaran 1.9-inci dan paparan dalaman 6.7-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Ia juga dikatakan akan ditawarkan pada harga 20% lebih murah berbanding keluarannya sebelum ini.

Galaxy Watch4 yang akan hadir kelak tampil dengan perubahan besar terutamanya peralihan dari Tizen ke Wear OS, serta antaramuka baharu One UI Watch.

Akhir sekali Galaxy Buds2 pula akan didatangkan dengan pelbagai pilihan warna-warna yang menawan, berdasarkan imej-imej yang tertiris. Dilaporkan, putik telinga nirwayar ini akan menyediakan fungsi pembatalan hingar aktif yang telah ditambahbaik.

Tinggalkan komentar