SEOUL, Korea – 7 Jan. 2025 – Samsung Electronics Co., Ltd. hari ini mengumumkan integrasi Eclipsa Audio — teknologi audio 3D revolusioner yang dibangunkan bersama Google — ke dalam rangkaian TV dan soundbar keluaran 2025 mereka. Dengan memberi kuasa kepada pencipta untuk menghasilkan kandungan audio dinamik dan mendalam serta membolehkan main semula yang lancar pada TV Samsung, Eclipsa Audio membawa pengalaman audio dan visual yang mengagumkan lebih dekat kepada pengguna berbanding sebelumnya.
“Kami berbangga menjadi peneraju industri dengan mengintegrasikan Eclipsa Audio ke dalam rangkaian TV dan soundbar keluaran 2025 kami,” kata Taeyong Son, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pasukan Penyelidikan & Pembangunan, Visual Display Business, Samsung Electronics. “Inovasi ini membuka kemungkinan baharu untuk pengalaman audio mendalam dan memperkukuh komitmen kami untuk membentuk masa depan hiburan di rumah.”
Mencipta Inovasi dalam Pengalaman Hiburan di Rumah
Sebagai peneraju global dalam pasaran TV selama 18 tahun berturut-turut, Samsung mentakrifkan semula hiburan di rumah dengan integrasi Eclipsa Audio. Dengan bahagian pasaran yang kukuh untuk TV melebihi 75 inci di seluruh dunia, TV Samsung bersedia menjadikan teknologi revolusioner ini lebih mudah diakses oleh lebih ramai pengguna.
Eclipsa Audio membolehkan pencipta menyesuaikan data audio seperti lokasi dan intensiti bunyi, serta pantulan ruang, untuk mencipta pengalaman bunyi tiga dimensi yang mengasyikkan. Samsung mengintegrasikan teknologi ini ke dalam semua model TV keluaran 2025 — daripada siri Crystal UHD hingga model perdana premium Neo QLED 8K — memastikan pengguna mempunyai pelbagai pilihan untuk menikmati teknologi canggih ini.
Memperluas Kandungan dan Main Semula
Mulai tahun 2025, pencipta boleh memuat naik video dengan trek Eclipsa Audio ke YouTube. Penonton yang menggunakan peranti Samsung keluaran 2025 boleh menonton video YouTube dengan audio spatial premium apabila tersedia.
Bagi memastikan kualiti audio yang konsisten, Samsung dan Google bekerjasama dengan Persatuan Teknologi Telekomunikasi (TTA) untuk mewujudkan program pensijilan bagi peranti yang menggunakan Eclipsa Audio. Program ini memastikan pengguna dapat menikmati standard ketepatan bunyi yang tinggi.
“Kami percaya bahawa Eclipsa Audio mempunyai potensi untuk mengubah cara kita mengalami bunyi,” kata Jim Bankoski, Naib Presiden Kejuruteraan, Google Chrome. “Kami teruja untuk melihat bagaimana komuniti pencipta menggunakannya untuk menghasilkan pengalaman audio baharu dan inovatif.”
Untuk maklumat lanjut, sila lawati: https://news.samsung.com/my/