Utama Android Samsung Samsung secara rasminya umumkan Siri Galaxy S24, Diperkasakan oleh Galaxy AI

Samsung secara rasminya umumkan Siri Galaxy S24, Diperkasakan oleh Galaxy AI

97
0
Samsung Galaxy S24

Gergasi elektronik Samsung memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence, A. I.) bergeneratif ke dalam siri telefon pintar mercu yang paling dinanti-nantikan keluarannya, Galaxy S24.

Menampilkan rekaan premium yang mantap, siri S24 hadir dengan tiga model iaitu Galaxy S24 Ultra dengan skrin 6.8-inci, Galaxy S24+ dengan skrin 6.7-inci dan model asas Galaxy S24 dengan skrin 6.2-inci. Kesemua model-model ini dilengkapkan dengan ciri inovatif Samsung Galaxy AI.

Gaya baharu untuk berhubung

Galaxy AI Live TranslationIntegrasi AI ini membawakan pelbagai fungsi hebat seperti terjemahan untuk panggilan secara langsung. Ia mampu membolehkan pengguna yang berlainan bahasa berborak terus dengan AI akan menjanakan terjemahan audio dan juga transkripnya dalam masa-nyata.

Menurut Samsung, ia umpama memasang sarikata ketika sedang menonton filem. Fungsi terjemahan panggilan ini juga dilakukan terus pada Galaxy S24 berkenaan bagi menjamin privasi perbualan para pengguna.

Chat Assist

Galaxy AI Chat AssistGalaxy S24 juga menyertakan fungsi Chat Assist di dalam Samsung Keyboard yang menterjemahkan teks dan mencadangkan gaya pertuturan dan pembetulan tatabahasa ketika menulis mesej. Ia boleh digunakan di dalam aplikasi-aplikasi popular seperti WhatsApp dan Instagram.

Keupayaan Galaxy AI turut merangkumi peningkatan produktiviti dengan membantu pengguna dalam menjana transkrip, menulis minit mesyuarat dan juga membuat rumuasan terus dari nota-nota yang tersedia. Malahan, ia juga mampu menjana terjemahan untuk dokumen bertulis dan laman web.Galaxy AI Auto Summarize

Ketika pelancarannya, sebanyak 13 pek bahasa tersedia untuk dimuat turun seperti Bahasa Inggeris, Mandarin, Korea, dan Jepun. Cuma tiada Bahasa Melayu atau Bahasa Indonesia tersedia buat masa ini.

Galaxy S24 juga menampilkan buat julung kalinya ciri gestur ‘Circle to Search’ yang membolehkan pengguna melukis bulatan pada sesuatu objek yang dipaparkan pada skrin untuk membuat carian maklumat melalui Google.

Gaya baharu menyunting foto

Samsung menyatakan ciri ini sebagai “pertama di dunia” dan direka bukan sekadar pada gambar atau foto semata-mata, malah cebisan video-video dari pelbagai platform media sosial.

Bercerita tentang gambar, pengguna boleh menggunakan AI untuk memperelokkan dan menyunting foto. Misalnya, pengguna boleh menyorotkan dan mengetik pada elemen tertentu bagi membolehkan Galaxy AI membuangnya dan mengisikan ruangan lompong tersebut dengan imej latar yang bersesuaian.

Untuk Galaxy S24 Ultra, model ini menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy. Ia juga mempunyai empat kamera di belakangnya yang terdiri daripada:

  • Kamera ultra-lebar 12MP
  • Kamera lebar 200MP
  • Kamera telefoto 50MP
  • Kamera telefoto 10MP

Manakala untuk model Galaxy S24+ dan Galaxy S24 pula, ia menggunakan pemprosesan buatan Samsung, Exynos 2400 dan menyediakan tri-kamera di bahagian belakangnya. Kamera-kamera tersebut merupakan:

  • Kamera ultra-lebar 12MP
  • Kamera lebar 50MP
  • Kamera telefoto 10MP

Selain menawarkan kamera hadapan 12MP, kesemua model-model ini juga mempunyai persamaan dari segi paparan Dynamic AMOLED 2X yang menawarkan kadar penyegaran semula 120Hz, dan kecerahan puncak 2,600 nits.

Dari segi saiz bateri, Galaxy S24 Ultra mempunyai bateri berkapasiti 5,000mAh yang sama seperti model keluaran tahun lepas. Manakala Galaxy S24+ pula memperlihatkan peningkatan 200mAH kepada 4,900mAh dan Galaxy S24 meningkat sebanyak 100mAh kepada 4,000mAh.

Galaxy S24 Ultra dan Galaxy S24+ dilengkapkan dengan RAM 12GB dengan Galaxy S24 pula mempunyai RAM sebanyak 8GB. Model-model telefon pintar mercu baharu ini juga didatangkan dengan naik taraf sistem operasi sebanyak tujuh keturunan dan kemaskini keselamatan selama tujuh tahun.

Kedua-dua model Galaxy S24+ dan Galaxy S24 bakal hadir dengan lapan pilihan warna iaitu Onyx Black, Marble Gray, Cobalt Violet, dan Amber Yellow, serta empat pilihan warna eksklusif pembelian dalam talian iaitu Sandstone Orange, Sapphire Blue, dan Jade Green.

Khusus untuk Galaxy S24 Ultra, ia merupakan telefon pintar Galaxy pertama yang hadir dengan kerangka titanium dengan tujuh pilihan warna iaitu Titanium Black, Titanium Gray, Titanium Violet, Titanium Yellow, dengan tiga lagi pilihan warna eksklusif dalam talian Titanium Blue, Titanium Orange, dan Titanium Green.

Harga Samsung Galaxy S24 di Malaysia

Galaxy S24 Ultra dijual di pasaran pada harga RM6,299 untuk model storan 256GB, RM6,799 untuk pilihan storan 512GB dan RM7,799 untuk storan 1TB yang dijual khusus secara dalam talian. Manakala Galaxy S24+ pula ia boleh didapati pada harga RM4,899 untuk model 256GB dan RM5,399 untuk model 512GB. Seterusnya S24 pula, ia berharga RM4,099 untuk model 256GB dan RM4,599 untuk versi 512GB.

Ikuti siaran langsung pelancaran acara Galaxy Unpacked 2024.

Untuk maklumat lanjut tentang siri Galaxy S24, layari Samsung Newsroom, Samsungmobilepress.com atau Samsung.com.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai promosi siri Galaxy S24: https://www.samsung.com/my/offer/galaxy-s24-series/.

Tempah sekarang di: 

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.