Samsung secara rasminya mengesahkan khabar berkenaan aplikasi Samsung Pay Mini yang mana boleh digunakan juga pada peranti-peranti bukan jenama Samsung. Bagaimanapun, ada beberapa perkara yang membezakannya dengan Samsung Pay seperti tidak boleh digunakan untuk membuat pembayaran melalui NFC dan pembaca kad magnetik di kedai-kedai jualan.

Di Malaysia, Samsung Pay buat masa ini sedang menjalankan pengujian beta terbuka dengan Maybank. Antara peranti-peranti yang menyokongnya adalah Galaxy A5 dan Galaxy A7 (versi 2016 dan versi 2017), Galaxy S7 Edge, Galaxy S7, Galaxy S6 Edge+, dan Galaxy Note5.

Untuk Samsung Pay Mini, ia hanya boleh digunakan untuk transaksi atas talian. Aaplikasi berkenaan juga direka bagi menawarkan pengalaman membeli-belah di atas talian kepada pengguna melalui ganjaran keahlian, gaya hidup dan pengangkutan.

Dimulai dengan peranti-peranti Android, Samsung akan memulakan tempoh percubaan Samsung Pay Mini di Korea Selatan dalam bulan ini juga. Majlis pelancaran rasminya dijangka akan diadakan pada suku pertama tahun 2017. Buat masa ini, perkhidmatan ini sesuai dengan peranti yang mempunyai sekurang-kurangnya paparan HD 1280 x 720 dan sistem operasi Android 5.0 Lollipop dan ke atas.

Sumber berita diperoleh dari Android Central

Tinggalkan komentar