Selepas bebebrapa bulan maklumat yang tertiris dan khabar anginnya datang bertalu-talu, Samsung akhirnya mengumumkan secara rasmi Galaxy S23 FE. Secara asasnya telefon pintar ini merupakan Galaxy S23 versi yang dikurangkan penawarannya.
Walaubagaimanapun, telefon pintar ini masih lagi mengekalkan ciri-ciri penting sesebuah telefon pintar andalan yang membezakannya dengan peranti peringkat menengah seperti Galaxy A.
Spesifikasi Samsung Galaxy S23 FE
Samsung Galaxy S23 FE didatangkan dengan skrin paparan Dynamic AMOLED 2x 6.4-inci, sama besar dengan FE sebelum ini, namun lebih besar berbanding model asas Galaxy S23. Panel ini juga mempunyai resolusi FHD+ serta kadar penyegaran semula 120Hz. Ia juga mempunyai kaca perlindungan Corning Gorilla Glass 5.
Permukaan belakangnya juga dilindungi dengan lapisan kaca yang sama, menggantikan kemasan ‘glasstic’ pada S21 FE sebelum ini. Sungguhpun dikategorikan sebgai telefon pintar andalan yang lebih murah, Galaxy S23 FE masih menawarkan kerintangan air dan debu IP68.
Untuk pemprosesannya pula, spesifikasi rasminya menunjukkan telefon pintar ini menggunakan pemprosesan okta-teras dengan kelajuan 2.8GHz, 2.5GHz dan 1.8GHz. Dimaklumkan, hanya versi di Amerika Syarikat sahaja yang menggunakan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 1 dan untuk pasaran global lain termasuk Malaysia akan menggunakan Samsung Exynos 2200.
Dari segi memori dan storannya, telefon pintar ini hadir dengan RAM 8GB dan storan sehingga 256GB. Ia juga menggunakan antaramuka One UI 5.1 berasaskan Android 13 yang turut didatangkan dengan jaminan naiktaraf OS Android sehingga empat kali dan lima tahun sokongan keselamatan.
Kameranya juga menerima peningkatan jika dibandingkan dengan FE terdahulu. Kali ini Galaxy S23 FE menawarkan kamera utama 50MP f/1.8, sama dengan model asas Galaxy S23. Ia diapit dengan kamera 12MP f/2.2 untuk ultra-lebar dan 8MP f/2.4 untuk telefoto yang menawarkan optikal zum 3x. Pada sebelah hadapannya pula disediakan sebuah kamera 10MP, f/2.4 yang setara dengan yang ditawarkan pada model asask Galaxy S23.
Lain-lain, Galaxy S23 FE dikuasakan oleh bateri berkapasiti 4,500mAh dengan sokongan pengecasan pantas berwayar 25W, nirwayar 15W, dan pengecasan berbalik 4.5W. Seperti biasa, tiada pengecas disediakan di dalam kotak pembungkusan telefon pintar ini.
Tidak ketinggalan, telefon pintar ini juga menyediakan sepasang pembesar suara stereo, pengimbas cap jari terbina bawah skrin, sokongan untuk 5G, WiFi 6E, Bluetooth 5.3 dan NFC.
Harga Samsung Galaxy S23 FE di Malaysia
Terdapat tiga pilihan warna yang ditawarkan untuk telefon pintar seberat 209g dan berketebalan 8.1mm ini iaitu Mint, Cream, Graphite dan Purple. Bermula dari 10 Oktober ini, anda boleh mendapatkan Samsung Galaxy S23 FE di Malaysia pada harga seperti berikut:
- Samsung Galaxy S23 FE, RAM 8GB, storan 128GB – RM2,999
- Samsung Galaxy S23 FE, RAM 8GB, storan 256GB – RM3,299