Lebih kurang 10 tahun dahulu, pemakaian ringtone pernah menjadi kegilaan masyarakat yang memiliki telefon bimbit hampir di seluruh dunia. Antara ringtone berformat mp3 popular yang kerap menyakitkan telinga aku pada ketika itu adalah ringtone Crazy Frog (The Annoying Thing) dari Axel F.

Bunyi “ring ding ding” ringtone dari watak animasi 3D yang menyerupai seekor katak ini bukan hanya popular di Malaysia, malah hampir di serata dunia. Hinggakan ia turut pernah mengungguli carta Billboard United Kingdom, memintas lagu Speed of Sound dendangan Coldplay pada tahun 2005.

Member-member aku yang lebih maju teknologi telefon bimbitnya pada waktu tu gemar menggunakan ringtone mp3 lain yang popular ketika itu seperti lagu tema drama bersiri Sembilu Kasih misalnya untuk untuk dimuatkan ke dalam Nokia 6600 (Nokia Sabun) supaya kelihatan lebih cool. Aku yang pakai Nokia 3310 pada waktu tu boleh pergi main jauh-jauh bila masing-masing bercerita tentang ringtone-ringtone yang sedap pada halwa telinga mereka. Apa barang pakai ringtone mono.

Ringtone ni pun tengok pada jenis pemilik handphone nya juga. Kalau peminat anime (otaku) atau penggemar game konsol Playstation 2, biasanya akan menjadikan lagu Mirai e (未来へ) hasil dendangan Kiroro. Kalau yang dah berumur sikit yang dah dekat umur persaraan tu, pastinya lagu-lagu popular pop yeh-yeh akan menjadi taruhan pada ringtone telefon bimbit masing-masing.

Rakan-rakan aku yang terdiri dari belia punk rockers Batu Gajah turut tidak ketinggalan memasukkan lagu-lagu punk rock kegemaran masing-masing sebagai ringtone. Ada juga satu dua kutu yang lebih nekad dengan memasukkan lagu recording jamming band sendiri sebagai ringtone. Padahal recording pakai handset aje pun. Memang barai habis kualitinya.

Pada ketika itu, ringtone bukanlah sekadar aktiviti suka-suka dikalangan remaja sebaya aku. Ia telah dijadikan sebagai satu bentuk perniagaan oleh sesetengah pihak. Walaupun membuat ringtone untuk handset ini kelihatan mudah pada sesetengah orang menggunakan PC, ia tetap laku untuk dijadikan bisnes dalam di Malaysia. Kalau tidak, masakan satu ketika dahulu kedai-kedai telekomunikasi menawarkan khidmat memasukkan ringtone ke dalam handset.

Malah, bagi pembaca-pembaca majalah era pertengahan dekad 2000 tentu sahaja pernah melihat iklan-iklan muat turun ringtone di dalam majalah-majalah seperti Mastika dan Ujang. Eh, bukan takat dalam majalah je, sampai kat dalam iklan TV pun selalu keluar. Sampai naik menyampah aku bila tengok iklan yang sebut “ON PANAS ke 33888” berulang kali.

Seiring dengan peredaran zaman, populariti perniagaan ringtone mula merosot sejak kemunculan era telefon pintar yang menandakan zaman kejatuhan Nokia sebagai raja telefon bimbit. Sejak dari itu, membuat ringtone menggunakan telefon pintar adalah jauh lebih mudah berbanding sebelumnya.

Ironinya, bermula kemunculan iPhone dan kemudiannya Android, masyarakat sudah mula menjauhkan diri dari menggunakan ringtone-ringtone unik ini sebagai deringan panggilan masuk. Amat jarang sekarang ini untuk aku bertemu dengan individu yang memekak dengan ringtone-ringtone unik masing-masing. Walau secanggih mana telefon pintar yang digunakan, kebanyakan yang aku jumpa lebih selesa menggunakan ringtone yang biasa-biasa sahaja.

Buat apa nak pakai ringtone ‘canggih-canggih’ kalau telefon pun asyik dalam silent mode je macam yang aku selalu buat.

4 KOMEN

  1. Teringat masa awal2 beli henfon dulu, masa tu di akhbar kita boleh beli ringtone yang dikilankan dengan harga 20 sen untuk satu ringtone. Kita cuma perlu tekan kod pilihan ringtone diikuti nombor telefon pengiklan dan mereka akan hantar ringtone permintaan kita. Bila saya cerita nostalgia zaman itu pada anak2 mereka gelak besar…

Tinggalkan komentar