Selain mengumumkan “pembunuh telefon pintar mercu”, Redmi K20 Pro dan K20, sub-jenama Xiaomi ini turut mengumumkan sebuah laptop yang dikenali sebagai RedmiBook 14. Berdasarkan namanya, mungkin sesetengah dari kita sudah dapat menjangkakan laptop ini mempunyai paparan 14-inci.
Mengikut spesifikasi, laptop ini menyediakan paparan HD Penuh 14-inci dengan lapisan anti-silau dan tahap kecerahan 250nits. Pada berat kira-kira 1.5kg, RedmiBook 14 juga mempunyai kerangka logam pada keseluruhan badannya dengan ketebalan 17,95 mm. Selain itu rekaan luarannya kelihatan seperti diilhamkan dari MacBook.
Seterusnya, RedmiBook 14 turut menawarkan pilihan spesifikasi tertinggi iaitu pemproses Intel Core i7-8565U bersama-sama grafik NVIDIA GeForce MX250 – VRAM 2GB GDDR5 serta RAM 8GB DDR4-2400. Untuk storannya, laptop ini menggunakan pemacu keadaan pejal (SSD) yang berasaskan sambungan SATA. Pengguna diberi pilihan untuk memilih kapasiti storan sehingga 512GB.
RedmiBook 14 turut dilengkapi dengan bateri 46Whr yang mampu menawarkan sehingga 10 jam penggunaan main semula video, 11 jam melayari web, dan 7 jam main semula video dalam talian. Melalui teknologi pengecasan pantasnya, pengguna dapat mencapai 50% daripada kapasiti baterinya dengan hanya 35 minit masa pengecasan.
Laptop ini juga dilengkapi dengan ciri-ciri Xiaomi Smart Unlock 2.0 yang membolehkan pemilik Mi Band 3 menyahkunci RedmiBook 14 dengan serta-merta apabila pengguna mendekatinya. Selain itu, ia juga telah dipra-dipasang dengan Windows 10 Home Edition dan Microsoft Office Home & Student Edition.
Untuk harga, model Core i5-8265U dengan 256GB ditawarkan pada CNY 3,999 (bersamaan RM 2,427). Manakala variasi 512GB pula berharga CNY 4299 (bersamaan RM 2,609). Spesifikasi yang lebih tinggi iaitu model Core i7 yang sedia hadir dengan kapasiti storan 512GB sahaja ditawarkan dengan harga CNY 4,999 (bersamaan RM 3,034). Pada masa ini, tidak dapat dipastikan sama ada RedmiBook 14 akan memasuki pasaran Malaysia kelak.
Sumber berita diperoleh dari Xiaomi China