Laporan terkini mendedahkan operasi pusat data Amazon di Boardman, Oregon, dikaitkan dengan lonjakan kes penyakit serius dalam kalangan penduduk setempat, termasuk kanser yang jarang ditemui dan kadar keguguran yang tinggi.

Siasatan mendapati bahawa kaedah penyejukan pelayan komputer yang digunakan oleh fasiliti gergasi teknologi tersebut telah memburukkan lagi krisis pencemaran air di kawasan berkenaan.

Situasi ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai impak kesihatan jangka panjang akibat pengurusan sumber air yang lemah oleh industri teknologi di kawasan luar bandar.​

Krisis Kesihatan di Morrow County

Penduduk di Morrow County melaporkan peningkatan mendadak masalah kesihatan yang kronik. Bekas pesuruhjaya daerah, Jim Doherty, mendakwa bahawa dalam satu lawatan ke 30 buah rumah di kawasan tersebut, beliau mendapati 25 isi rumah melaporkan kes keguguran, manakala enam individu telah kehilangan buah pinggang akibat penyakit.

Selain itu, wujud kluster kanser yang jarang jumpa seperti angiosarcoma (kanser saluran darah), multiple myeloma, dan tumor tisu lembut dalam komuniti berhampiran fasiliti tersebut.​

Seorang penduduk, Heather Smith, dilaporkan kehilangan suaminya akibat tumor otak, manakala penduduk lain, Kathy Mendoza, mengalami masalah sendi dan otot yang dikaitkan dengan pendedahan nitrat.

Keadaan ini didakwa berpunca daripada air minuman yang tercemar dengan tahap nitrat yang jauh melebihi had keselamatan yang ditetapkan.​

Punca: Pengurusan Air yang lemah dan Kepekatan Nitrat Tinggi

Walaupun Amazon tidak menambah bahan kimia nitrat secara langsung ke dalam air. Namun proses operasi mereka didakwa meningkatkan lagi kadar pencemaran sedia ada.

Pusat data Amazon menyedut air bawah tanah yang sudah tercemar dengan baja pertanian untuk menyejukkan pelayan komputer mereka yang panas.​

Menurut laporan, apabila air tersebut digunakan untuk penyejukan, sebahagian daripadanya menyejat ke udara, meninggalkan sisa air dengan kepekatan nitrat yang jauh lebih tinggi.

Air sisa yang “lebih pekat” ini kemudiannya dilepaskan kembali ke dalam sistem air tanah atau disembur ke ladang berhampiran. Ia menyebabkan kandungan toksin dalam air bawah tanah meningkat secara mendadak.​

Berdasarkan laporan pendedahan oleh majalah Rolling Stone menunjukkan:

  • Tahap nitrat dalam telaga penduduk mencecah 73 bahagian per juta (ppm), jauh melebihi had negeri sebanyak 7 ppm.​
  • Air buangan dari pusat data Amazon mencatatkan purata kepekatan nitrat sehingga 56 ppm, lapan kali ganda lebih tinggi daripada had keselamatan.​

Reaksi dan Impak Komuniti

Isu ini telah mencetuskan kemarahan penduduk tempatan yang merasa dikorbankan demi kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Kathy Mendoza mempersoalkan etika syarikat tersebut dengan menyatakan, “Bagaimana anda boleh hidup dengan mengetahui air yang anda salurkan ke rumah orang menyebabkan keguguran atau kanser?”.​

Selain isu kesihatan, Amazon juga dikritik kerana menerima pelepasan cukai bernilai berbilion ringgit daripada kerajaan tempatan, walaupun operasinya memberi tekanan hebat kepada infrastruktur dan kesihatan awam.

Pihak berkuasa kini didesak untuk mengenakan pengawasan yang lebih ketat, termasuk mewajibkan penilaian impak kesihatan bagi sebarang pembinaan pusat data baharu.​

Kes di Oregon ini menjadi amaran global mengenai kos tersembunyi revolusi AI terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia. Walaupun pusat data penting untuk ekonomi digital, kegagalan menguruskan sisa industri dan sumber air dengan cekap boleh membawa padah kepada komuniti setempat.

Tinggalkan komentar