Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan pentadbirannya akan meneliti pelan pelaksanaan rangkaian 5G menerusi Digital Nasional Berhad (DNB).
Menerusi sidang media yang diadakan sebentar tadi, beliau menyatakan pelan 5G berkenaan akan dinilai semula bagi memastikan supaya mengikuti prosedur yang betul memandangkan ia tidak dilakukan menerusi tender terbuka.
DNB merupakan rangkaian borong tunggal (single wholesale network, SWN) 5G yang berperanan menyediakan rangkaian 5G di seluruh negara. Syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan tidak dibenarkan untuk membina rangkaian 5G masing-masing dan perlu mendapatkan akses menerusi rangkaian 5G dari DNB.
Model rangkaian borong tunggal yang digunakan bagi pelaksanaan 5G ini tidak begitu dipersetujui di kalangan syarikat telekomunikasi dan juga pemain-pemain industri. Antara yang dibangkitkan termasuklah kadar RM30,000 per Gbps bagi setiap bulan bersama-sama kontrak untuk selama 10 tahun.
Menurut DNB, kos keseluruhan pelaksanaan rangkaian 5G dijangkakan sekitar RM16.5 billion dalam tempoh sepanjang 10 tahun termasuk RM12.5 billion untuk kos rangkaian dan RM4 billion untuk kos korporat seperti kakitangan dan konsultasi.
DNB pada tahun lalu juga menyatakan sasaran untuk mencapai 40% liputan 5G menjelang hujung tahun ini dengan 4,018 tapak dan 80% liputan 5G di kawasan berpenduduk menjelang hujung 2024 dengan 7,509 tapak.
Berdasarkan laporan sukuan ketiga 2022 JENDELA baru-baru ini, DNB tidak mencapai sasaran pada tahun ini dengan hanya sebanyak 1,915 tapat dapat disediakan di seluruh negara. Sabah dan Sarawak pula buat masa ini masih lagi belum menerima liputan 5G.
Lima dari enam syarikat telekomunikasi telah menandatangani perjanjian akses 5G dengan DNB. Manakala empat syarikat iaitu YTL Communications, TM, Celcom dan Digi telah menandatangani perjanjian perkongsian langganan dengan pegangan terkumpul 65% di dalam rangkaian borong tunggal berkenaan. Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan pula menjadi pemegang utama keseluruhan dengan 35%.













