JOHOR BAHRU, 6 MEI 2024 – Dalam usaha memperkasa dan meningkatkan kesedaran masyarakat menghadapi pelbagai ancaman penipuan (fraud), scam dan jenayah siber, siri Jelajah Anti-Scam Kebangsaan (JASK) kini diteruskan di negeri Johor Darul Takzim. Program ini yang dianjurkan bersama oleh CyberSecurity Malaysia dan CelcomDigi Berhad dengan kerjasama Gabungan Bertindak Anti-Scam (GBAS) serta sokongan Kementerian Digital turut mendapat sokongan dari Kerajaan Negeri Johor, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta beberapa buah agensi kerajaan negeri, termasuk Jabatan Penerangan Johor (JAPEN). 

Program JASK yang akan berlangsung selama dua hari, 5 dan 6 Mei 2024 bertempat di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertujuan untuk berkongsi maklumat-maklumat penting berkaitan lanskap ancaman siber yang kian berubah, modus operandi terkini pelbagai jenis scam, tips pencegahan serta amalan terbaik bagi mengelak masyarakat dari menjadi mangsa jenayah ini. 

“Kes dan insiden penipuan atau scam sama ada dalam atau di luar talian masih berleluasa. Masih ramai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa akibat terpedaya oleh pelbagai taktik licik scammer yang terus menipu mangsa. Maka, program kesedaran ini perlu dipergiat secara konsisten agar informasi dapat disalurkan kepada semua lapisan masyarakat. Orang ramai harus cakna dan melengkapkan diri dengan maklumat berkaitan jenayah ini bagi membolehkan mereka memiliki sikap kawal kendiri serta berupaya melindungi diri dari menjadi mangsa.” kata Jeneral Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Haji Zulkifeli Bin Mohd Zin (Bersara), Pengerusi Lembaga Pengarah, CyberSecurity Malaysia.

Pada tahun 2023, Pusat Tindakbalas Insiden Siber-Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia mencatatkan sebanyak 5,917 insiden keselamatan siber, di mana penipuan (dalam talian) kekal berada di tangga teratas dengan jumlah insiden yang dilaporkan sebanyak 3,705. Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Polis Diraja Malaysia Bukit Aman pula merekodkan jumlah kes jenayah dalam talian sebanyak 7,651 bagi tempoh Januari hingga Mac 2024 dengan nilai kerugian sebanyak RM331,642,464.26.

Meg Richy (kiri), Pakar Terapi Psikologi dari Meg Richy Consultacy ketika sesi Love Is Blind - Empathy for Victims di dalam jeyarawara JASK di Johor
Meg Richy (kiri), Pakar Terapi Psikologi dari Meg Richy Consultacy ketika sesi Love Is Blind – Empathy for Victims di dalam jeyarawara JASK di Johor

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi, “Sebagai penyedia perkhidmatan digital, kami mempunyai tanggungjawab dalam mewujudkan pengalaman internet yang lebih selamat untuk semua warga digital. Kami menekankan prinsip A.C.T (BERTINDAK) iaitu memupuk Kesedaran (Awareness), meningkatkan tahap Pematuhan (Compliance) dalam organisasi dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan, serta mengoptimumkan penggunaaan Teknologi (Technology) dalam memerangi ancaman scam. CelcomDigi memahami kepentingan menyediakan kesalinghubungan internet yang kondusif dan selamat untuk semua pengguna selain bertanggungjawab menyemai kemahiran penggunaan internet yang selamat di kalangan rakyat Malaysia. Kami percaya bahawa inisiatif secara kolektif ini dapat memberikan impak yang besar dalam memerangi scam secara berkesan.”

Program JASK peringkat negeri Johor telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Bin Ghazi, Menteri Besar Johor. Teks ucapan beliau dibacakan oleh YB Tuan Aznan bin Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor. Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Haji Zulkifeli Bin Mohd Zin (Bersara), Pengerusi Lembaga Pengarah, CyberSecurity Malaysia; YBhg. Dato’ Ts. Dr Haji Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia; YBrs. Encik  Samsudin Sujak, Pegawai Hal Ehwal Kerajaan (Wilayah Selatan), CelcomDigi Berhad; YBrs. Prof. Dr. Rosli bin Md Illias, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), UTM serta beberapa tetamu kenamaan negeri yang lain. 

Dianggarkan seramai 500 peserta terdiri dari penjawat awam negeri, pelajar IPT, pensyarah, guru, remaja, belia, ibu bapa serta wakil komuniti hadir pada sesi dialog dan forum anti-scam sempena program ini.  

Program JASK adalah ilham Gabungan Bertindak Anti-Scam (GBAS) yang dianggotai oleh beberapa agensi kerajaan, organisasi swasta serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Persatuan Siswazah Wanita Malaysia (PSWM), Yayasan Digital Malaysia (YDM).  Program ini juga mendapat kerjasama daripada Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) serta Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM). 

Tinggalkan komentar