Perak akan menjadi negeri pertama yang memperkenalkan Pelan Ketersambungan Kebangsaan (NFCP) menurut Exco Kerajaan Negeri Perak, Encik Hasnul Zulkarnain bin Abd Munaim.
Beliau yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi negeri Perak menyatakan kerajaan negeri telah menerima kertas cadangan dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu untuk membuat keputusan mengenai langkah berikutnya.
Pelan Ketersambungan Kebangsaan (NFCP) merupakan sebuah projek kerajaan yang menggabungkan penggunaan gentian optik dan sambungan tanpa wayar bagi menyediakan internet berkelajuan tinggi kepada penduduk luar bandar.
Projek berkenaan pertama kali dijalankan pengujiannya di beberapa kawasan di sekitar Jasin, Melaka pada Januari lalu. Sepanjang tempoh pengujian, penduduk-penduduk di Taman Merbau Perdana, Taman Maju, Felda Tun Ghafar dan kawasan-kawasan sekitarnya melaporkan kelajuan akses internet mampu mencecah sehingga 1Gbps.
Pihak kerajaan mensasarkan lebih ramai rakyat Malaysia mendapat akses ke internet berkelajuan tinggi pada harga yang mampu milik melalui pelan ini. Selain itu, pelan ini juga bertujuan menggerakkan pembangunan ekonomi digital negara dan sebagai sokongan untuk gerakan Revolusi Industri 4.0.
Encik Hasnul Zulkarnain turut menyatakan kepada pemberita melalui akhbar The Star bahawa projek ini dijangka akan dilancarkan dalam tahun ini juga.
Sumber berita diperoleh dari The Star













