Samsung telah melancarkan telefon pintar Galaxy A22 5G ke pasaran Malaysia sekitar pertengahan Julai lalu. Telefon ini merupakan siri Galaxy A pertama yang berkeupayaan 5G dijual pada harga di bawah RM 1,000.
Selain dari sokongan 5G, Galaxy A22 5G ini mempunyai paparan FHD+ 6.6-inci dengan kadar penyegaran semulaa 90Hz. Ia juga dikuasakan oleh cipset MediaTek Dimensity 700 dan bateri berkapasiti 5,000mAh. Untuk pasaran Malaysia, model berkenaan menawarkan RAM 8GB dan storan dalaman 128GB.
Di atas kertas, model ini dilihat lebih berkeupayaan jika dibandingkan dengan model Galaxy A22 LTE. Apa pun, mari kita lihat apa yang terkandung di dalam kotak pembelian Samsung Galaxy A22 5G ini.
Kandungan kotak Samsung Gaalxy A22 5G
Berikut adalah item-item yang disediakan bersama di dalam kotaknya:
- Samsung Galaxy A22 5G versi RAM 8GB RAM, storan 128GB berwarna hijau pudina (mint)
- Pengecas pantas 3-pin 10W (9V-1.67A / 5V-2A)
- Kabel USB Type-C Cable
- Pin penolak SIM
- Panduan mula segera dan maklumat waranti
Samsung Galaxy A22 5G dilengkapkan dengan paparan LCD TFT Full HD+ 6.6-inci dengan kadar penyegaran semula 90Hz. Paparan skrinnya nyata jelas dan boleh dilihat dengan baik apabila menggunakannya di luar bangunan. Sudut pandangannya juga amat baik untuk dilihat dari hampir segenap arah. Pada paparan Infinity-V dihadapannya ini juga menyediakan sebuah kamera swafoto 8MP.
Sungguhpun bukan paparan HDR, melalui sokongan widevine L1, telefon ini mampu memainkan kandungan-kandungan Full HD pada Netflix, HBO Go, Disney+ Hotstar, Prime dan sebagainya.
Jika dibandingkan dengan MediaTek Helio G80 yang digunakan oleh model 4G, model 5G ini menggunakan cipset yang lebih berkuasa iaitu MediaTek Dimensity 700. Ia juga disokong oleh RAM LPDDR4X 8GB dan storan UFS 2.1 128GB. Selain itu, telefon ini menyokong ketersambungan jalur 11 5G dan dwi-jalur Wi-Fi 802.11ac, namun tidak mempunyai sokongan untuk NFC.
Untuk perisiannya, antaramuka yang digunakan oleh Samsung Galaxy A22 5G ini merupakan Samsung OneUI Core 3.1 yang berasaskan Android 11 bersama-sama perisian lain sokongan lain seperti Knox. Samsung Pay, bagaimanapun tidak disokong oleh telefon Samsung 5G ini.
Seperti biasa, di sebelah sisi kanan telefon pintar Samsung ini ditempatkan butang kuasa yang turut disertakan bersama pengimbas cap jari. Pada sisi yang sama ini juga diletakkan butang kawalan bunyi.
Di sisi kirinya pula menempatkan satu dulang yang menyediakan dua slot kad SIM dan satu slot kad mikroSD. Tidak ketinggalan, di sebelah bawahnya pula menyediakan satu bicu audio 3.5mm, mikrofon utama, port USB Type-C dan pembesar suara mono. Sokongan Dolby Atmos disediakan oleh telefon ini dan anda boleh menikmatinya melalui penggunaan fon kepala sama ada berwayar mahupun nirwayar melalui sambungan Bluetooth.
Lain-lain fungsi dan kelebihan bagi Samsung Galaxy A22 5G ini saya akan mengulasnya dengan lebih lanjut di dalam artikel akan datang.













