Oppo telah menetapkan tarikh bagi pelancaran telefon pintar flagship keluarannya pada 19 Jun ini di Paris. Dikenali sebagai Find X, tarikh pelancaran telefon pintar berkenaan untuk pasaran global akan diketahui pada hari majlis yang bakal dilangsungkan di Muzium Louvre, Paris.

Selain dari nama untuk model telefon pintar tersebut, tidak banyak yang diketahui mengenainya setakat ini. Bagaimanapun, maklumat lanjut tidak rasmi mengenai telefon pintar jenama Oppo ini telah pun mula tertiris di atas talian. Menurut laporan berkenaan, telefon pintar ini didakwa memiliki spesifikasi seperti berikut – chipset Qualcomm Snapdragon 845, RAM sehingga 8GB, storan dalaman 256GB, bateri berkapasiti sehingga 4000mAh bersama-sama sistem pengecasan pantas VOOC.

Turut tertiris adalah foto bahagian belakang telefon pintar berkenaan yang turut menunjukkan skim warna edisi khas dengan rekaan menarik yang dijangka menggunakan material seperti gelas.

Oppo Find X telah dibangunkan dalam satu tempoh masa yang agak lama dan model Oppo Find yang dikeluarkan adalah pada tahun 2014 dulu.

Sumber maklumat diperoleh dari Weibo

Tinggalkan komentar