OPPO telah mula menerbitkan iklan telefon pintar peringkat menengah terkininya A78 5G untuk pasaran Malaysia. Kini, OPPO secara rasminya telah mengumumkan harga bagi peranti berkenaan pada harga yang lebih mampu milik berbanding model sebelumnya, A77 yang dilancarkan pada tahun lepas.

Sungguhpun hadir dengan rekaan permukaan belakang baharu, beberapa ciri yang terdapat pada A78 5G masih lagi sama seperti yang ditawarkan pada A77. OPPO A78 5G masih lagi menampilkan paparan skrin LCD 6.56-inci 1612×720 piksel dengan kadar penyegaran semula 90Hz, kecerahan puncak 600 nits dan dilindungi oleh kaca Panda. Ia juga dilengkapkan dengan pembesar suara stereo, pengimbas cap jari terbina sisi dan kerintangan air IPX4.

Bagaimanapun, agak aneh juga apabila melihat telefon pintar ini menggunakan pemprosesan yang lebih rendah kuasanya, MediaTek Dimensity 700, berbanding model sebelumnya yang menggunakan Dimensity 810. OPPO hanya menawarkan satu konfigurasi RAM dan storan iaitu masing-masing 8GB dan 128GB. Pun begitu, slot kad mikroSD masih lagi disediakan padannya.OPPO-A78-5G-Malaysia-Specifications

OPPO A78 menampilkan dwi-kamera yang mengandungi lensa kamera utama 50MP dan kamera berkedalaman 2MP, bersama-sama kamera hadapan 8MP. Menurut OPPO, ciri Ultra-Clear Image yang disediakan di dalam telefon pintar ini menggunakan algoritma perisian bagi menaikkan resolusi imej kepada 108MP.OPPO A78 5G Malaysia-1

Menguasakan telefon pintar adalah bateri berkapasiti 5,000mAh bersama-sama sokongan pengecasan pantas SUPERVOOC 33W yang mampu mengecas sehingga penuh dalam tempoh 67 minit. Untuk ketersambungannya pula, telefon pintar ini mempunyai 5G, dwi-jalur Wi-Fi, Bluetooth 5.3, NFC dan juga bicu audio 3.5mm.

OPPO A78 hadir dengan ColorOS 13 yang berasaskan Android 13 dan turut menawarkan pilihan warna Glowing Black dan Glowing Purple melalui kemasan matte pada permukaan belakangnya. Telefon pintar ini boleh didapati menerusi kedai rasmi OPPO di Lazada dan Shopee pada harga RM1,099 bermula dari 14 Januari 2023.

 

Tinggalkan komentar