Syarikat analisis rangkaian Opensignal pada minggu ini telah menerbitkan satu lagi laporan berkaitan Malaysia. Laporan ini yang diterbitkan pada 10 November lalu ini menyentuh perbezaan dari segi kelajuan dan pengalaman yang dibawakan oleh 5G di pasaran tempatan.

Data yang dikumpulkan bermula dari 1 Ogos sehingga 29 Oktober 2022 dan kami berpendapat ia berdasarkan laporan yang diterima dari pengguna Yes dan unifi Mobile. Hal ini kerana Celcom, U Mobile dan Digi baharu sahaja memulakan penawaran 5G masing-masing selepas tarikh 29 Oktober berkenaan.

Sepanjang tempoh tersebut, kelajuan muat turun 5G di Malaysia dilaporkan berada di sekitar 284.9Mbps. Manakala kelajuan purata muat turun 4G pula adalah sekitar 16.9Mbps. Ini bermakna, pengguna 5G menikmati sekitar 16.8 kali ganda lebih pantas berbanding 4G.

Laporan yang sama juga menyatakan kelajuan muat naik 5G di Malaysia adalah enam kali ganda lebih pantas berbanding 4G sepanjang tempoh tersebut. Bukan itu sahaja, 5G juga telah membawakan peningkatan ketara dari segi penstriman permainan dan video di Malaysia.

Penambahbaikan yang dibawakan oleh 5G ini sememangnya sudah dijangkakan kerana ia dijanjikan mempunyai banyak kelebihan jika dibandingkan dengan teknologi 4G. Pun begitu, masih terlalu awal lagi untuk mengharapkan sebuah keajaiban bakal terjadi di dalam teknologi rangkaian selular di Malaysia. Ini kerana keupayaan sebenar infrastruktur teknologi 5G di Malaysia masih lagi belum diketahui kerana liputan dan bilangan akses dari pengguna yang masih lagi rendah setakat ini.

Maklumat lanjut, layari https://www.opensignal.com/2022/11/10/malaysian-users-see-clear-increases-in-speed-and-experience-in-5g-over-4g

Tinggalkan komentar