OpenOffice, salah satu perisian alternatif Microsoft Office yang terbaik kini sedang berdepan dengan masalah yang boleh membawa kepada penutupannya. Pihak yang menguruskan projek ini mendapati kini semakin ramai pembangun memilih menggunakan LibreOffice.

Banyak faktor yang membuatkan para pembangun lebih cenderung menggunakan LibreOffice. Ditambah lagi dengan kehilangan penajaan dari IBM, OpenOffice kini sudah lama tidak dikemaskini untuk satu tempoh yang agak panjang.

Timbalan Pengerusi Projek Apache OpenOffice, Dennis Hamilton, telah menghantar emel kepada pengendali-pengendali projek ini bagi membincangkan keadaan semasa yang kini sedang tenat serta memikirkan untuk menghentikan projek berkenaan secara serta-merta.

Walau apa pun terjadi kelak, perisian suit produktiviti ini akan kekal sebagai sumber terbuka walaupun pembangunnya sendiri akan mengabaikan projek ini. Dalam masa terdekat, perisian berkenaan akan terus diletakkan di laman Sourceforge bagi tujuan muat turun oleh pengguna. Di dalam emel berkenaan, turut digariskan beberapa langkah yang perlu diselesaikan oleh pembangun projek sebelum berhenti.

Penutupan ini tentunya memberikan kesan kepada para pengguna-penggunanya. Namun, pengguna masih lagi mempunyai alternatif lain untuk menggunakan perisian suit produktiviti ini. LibreOffice tentunya beroleh manfaatnya lantaran sebilangan besar pembangun-pembangun dari OpenOffice dijangkakan akan beralih kepadanya.

-Sumber berita diperoleh dari Apache

 

Tinggalkan komentar