NVIDIA hari ini telah mengumumkan tiga kad grafik baharu berasaskan senibina grafik generasi berikutnya. Mula hadir pada Oktober ini, harga yang akan ditawarkan di pasaran kelak bermula dari $899 (~RM4,107).
Kad grafik paling berkuasa di dalam siri ini, RTX 4090 menampilkan teras CUDA 16384 dengan klok dipertingkatkan sehingga 2.52GHz. Kad ini didatangkan dengan memori GDDR6X 24GB dan antaramuka memori 384-bit.
Menurut NVIDIA, kad grafik 2-4 kali lebih pantas berbanding RTX 3090 Ti. RTX 4090 tahap kuasa 450W dan menggunakan kabel 16-pin PCIe Gen 5 tunggal atau 8-pin PCIe 3x. Ia berharga $1,599 (~RM7,305) dan akan mula hadir ke pasaran 12 Oktober.
Seterusnya, RTX 4080 pula hadir dalam dua varian. Varian yang lebih premium menampilkan 9728 teras CUDA dan klok yang dipertingkatkan 2.51GHz. Ia mempunyai memori GDDR6X 16GB dengan antaramuka 256-bit. NVIDIA menyatakan grafik ini 2-4 kali lebih pantas berbanding RTX 3080 Ti.
Varian yang kedua RTX 4080 pula menampilkan memori GDDR6X 12GB dan antaramuka memori 192-bit. Versi ini juga mempunyai teras CUDA 7680 dan klok dipertingkatkan 2.61GHz.
Model 16GB mempunyai tahap kuasa 320W, manakala model 12GB pula kuasanya adalah 285W. Harga yang ditawarkannya di pasaran pula $1,199 (~RM5,477) dan $899 (~RM4,107) mulai November ini.
Kad grafik ini menggunakan GPU baharu yang berasaskan senibina baharu Ada Lovelace TSMC 4nm. GPU baharu ini menampilkan teras RT generasi ketiga, teras Tensor generasi keempat dan menyokong ciri baharu seperti DLSS 3 dan enkoder AV1.
Jika dibandingkan dengan 40 shader TFLOPS pada RTX 3090 Ti, RTX 4090 mempunyai 83 TFLOPS. Melalui pengguna Shader Execution Reordering, prestasi shader didakwa dipertingkatkan 2 kali ganda dan kadar bingkai di dalam permainan dipertingkatkan sebanyak 25%.
NVIDIA turut menyatakan prestasi RT pada RTX 4090 adalah sekitar 191-TFLOPS, manakala RTX 3090 Ti pula mampu 78-TFLOPS. Teras Tensor generasi keempat pula dikatakan mempunyai 5 kali throughput pada RTX 4090.
Kad siri RTX 40 ini juga menampilkan dua NVIDIA Encoders (NVENC) generasi ke-8. Ia bukan sahaja mampu dekod AV1, malah turut mampu melakukan pengenkodan. NVIDIA juga telah bekerjasama dengan OBS Studio untuk membawakan pengenkodan AV1 kepada kliennya. Resolusi yang mampu ditangkap oleh ShadowPlay pula ditingkatkan ke 8K pada 60fps di dalam HDR.
DLSS 3 pada kad grafik NVIDIA 40 Series
Salah satu ciri yang paling memberikan impak diumumkan di dalam acara tersebut, DLSS 3 yang hanya diberikan secara eksklusif pada kad grafik siri 40. Versi baharu ini menggunakan Optical Flow Accelerator dan data dari bingkai berjujukan untuk mewujudkan bingkai baharu pada GPUnya (bukan di dalam permainan) untuk meningkatkan kadar bingkai sehingga 4 kali. Kaedah ini juga mengatasi sebarang kesesakan CPU yang memberikan kesan upsampling tradisional dan kaedah rekonstruksi imej ketika kadar bingkai meningkat.
Sebanyak 35 permainan telah diumumkan akan hadir dengan sokongan ciri ini termasuk Cyberpunk 2077 dan Microsoft Flight Simulator. Ia akan mula hadir pada bulan hadapan. NVIDIA juga mengumumkan versi permainan Portal dengan ray-tracing masa nyata yang akan dilancarkan pada November ini dan akan ditawarkan sebagai kemaskini percuma untuk pemain Portal. Ia juga merupakan sebahagian daripada platform modding NVIDIA RTX Remix yang menampilkan alatan untuk meningkatkan visual pada judul-judul permainan yang lama.
Berbalik kepada kad grafik tadi, model-model siri RTX baharu ini akan menggantikan siri kad grafik 3090 3060, 3070, dan 3080 yang buat masa ini akan terus dijual di pasaran seperti biasa. Untuk siri 40 yang lebih rendah pula, ia dijangka akan diperkenalkan seawal 2023.
NVIDIA akan menjual kad grafik keluarannya sendiri Founders Edition untuk RTX 4090 dan RTX 4080 16GB, bersama-sama dari rakan kongsi AIB seperti ASUS, Colorful, Gainward, Galaxy, GIGABYTE, INNO3D, MSI, Palit, PNY, dan ZOTAC. Kebanyakan kad ini menampilkan rekaan 3-4 slot dengan keperluan kuasa yang tinggi. Kad-kad ini juga akan mempunyai ketersambungan HDMI 2.1 dan DisplayPort 1.4a.