Nvidia baru-baru ini telah mengeluarkan kad grafik terbaru yang dikenali sebagai GeForce GT 710. Walaupun kad grafik terbaru ini tidak menggunakan senibina Pascal, GT 710 merupakan pilihan yang menarik buat pengguna yang tidak ingin menggunakan GPU berintegrasi.
GT 710 hadir dengan dilengkapi teknologi-teknologi Nvidia terkini seperti PhysX, adaptive VSync, 3D Vision dan CUDA walaupun ia diletakkan di bawah kategori kad grafik bajet. Nvidia turut mendakwa GeForce GT 710 adalah 10 kali ganda lebih pantas jika dibandingkan dengan GPU berintegrasi.
Dari segi spesifikasi, GT 710 dibina berdasarkan senibina Kepler GK208 yang menggunakan teknologi memproses 28 nm. Kad grafik ini telah ditetapkan klok terasnya pada 954 MHz dengan lebar jalur memori 14.4 Gbps. Sepertimana kad-kad grafik bajet lain, ia menggunakan tenaga yang amat rendah iaitu pada TDP 19W.
Menariknya, walaupun GeForce GT 710 dibina berdasarkan senibina Kepler yang sudah agak ketinggalan, Nvidia tetap berbesar hati memberikan sokongan DirectX 12 terhadap kad grafik bajet ini. Oleh itu, para pengguna terutamanya pemain game dapat mencuba fungsi sokongan DirectX 12 walaupun dalam keadaan ekonomi meleset seperti sekarang ini. Selain dari itu, kad grafik terbaru dari Nvidia ini hadir dalam bentuk DDR3 1GB dan 2GB.
Buat masa ini, Nvidia GeForce GT 710 dijual pada harga USD 30 (RM 125) bagi versi 1GB dan USD 40 (RM170) bagi versi 2GB. Antara pengeluar-pengeluar yang turut mengeluarkan GT 710 termasuklah EVGA, MSI, Zotac dan Gigabyte.
-Sumber berita diperoleh dari WCCFTech