nubia Focus Pro 5G secara rasminya diumumkan akan hadir ke pasaran Malaysia dan dijangka tiba pada awal bulan depan. Telefon pintar peringkat menengah ini masih mampu menawarkan rekabentuk premium dengan tri-kamera dengan kamera utama 108MP.
Hadir dengan paparan rata LCD IPS 6.72-inci, telefon pintar ini menawarkan resolusi FHD+ dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Ia juga menyediakan pengimbas cap jari pada butang sisinya bersama-sama butang gelongsor khusus untuk membuka aplikasi kamera dan juga butang pengatup kamera berkapasitatif pada sisi kanannya.
Menariknya, telefon pintar dengan pembesar suara yang dipertingkatkan dengan DTS ini masih lagi menyediakan bicu audio 3.5mm selain turut menyediakan port USB-C seperti kebiasaan.
Di dalamnya, nubia Focus Pro 5G menggunakan pemprosesan Unisoc T760 bersama-sama RAM 8GB dan storan UFS 3.1 256GB. Dalam pada masa yang sama, ia juga didatangkan dengan bateri berkapasiti 5,000mAh yang menyokong pengecasan 33W. Model baharu keluaran nubia yang menggunakan Android 14 ini juga mempunyai sokongan Wi-Fi dwi-jalur, Bluetooth 5.2 dan NFC.
Seperti dinyatakan tadi, telefon pintar ini juga menyediakan tri-kamera. Ia mengandungi kamera utama 108MP dengan OIS, kamera ultra-lebar 5MP dengan makro dan kamera berkedalaman 2MP. Pada sebelah hadapannya pula disediakan kamera 32MP.
nubia Focus Pro 5G boleh didapati di pasaran Malaysia bermula 4 Jun 2024 pada harga RM999 dengan warna pilihan Classic Black dan Light Brown. Pra-tempahan telah mula dibuka sejak 20 Mei menerusi kedai dalam talian rasmi nubia di Shopee sehingga 3 Jun 2024. Pembelian terawal turut berpeluang untuk menerima diskaun istimewa RM50 dan pembesar suara Bluetooth ZTE percuma sehingga stok masih ada.