Nokia 1.4 dilancarkan dengan menawarkan skrin paparan dan kapasiti bateri yang lebih besar. Telefon pintar ini yang dijual pada harga €99 (~RM482) dan telah dilancarkan secara global semalam.
Perubahan ketara pada telefon pintar ini adalah pada paparannya yang menawarkan saiz panel 6.51″ dengan resolusi 720+ bernisbah 20:9. Sebagai perbandingan, Nokia 3.1 mempunyai paparan 5.71″.
Juga, baterinya kini berkapasiti 4,000mAh berbanding sebelumnya yang mempunyai 3,000mAh. Bagaimanapun, ianya tidak menyediakan pengecasan pantas dengan kuasa 5W dan masih lagi kekal menggunakan sambungan jenis mikroUSB. Menurut HMD, bateri ini mampu bertahan selama 2 hari penggunaan.
Menggunakan cipset Qualcomm 215 (quad Cortex-A53 @ 1.3 GHz, Adreno 308), telefon pintar ini ditala khusus menggunakan sistem operasi Android 10 Go Edition. Ianya boleh dipertingkatkan kepada Android 11 Go Edition kelak apabila kemaskininya diluncurkan nanti.
Telefon pintar ini menyediakan dua konfigurasi iaitu RAM 1GB / ROM 16GB dan RAM 3GB / ROM 64GB. Slot storan mikroSD yang ditawarkannya mampu menyokong kad sehingga 128GB.
Nokia 1.4 menyediakan dua buah modul kamera pada kamera belakangnya. Satu 8MP sebagai kamera utama dan 2MP untuk kamera makro. Turut disediakan pada bahagian belakang telefon ini adalah pengimbas cap jari. Ciri kamera telefon ini memanfaatkan proses algoritma Google di dalam aplikasi Camera Go bagi meningkatkan fungsi mod Malam dan Potret. Tidak ketinggalan, di hadapan telefon ini ditempatkan sebuah kamera 5MP.
Selain dari itu, telefon ini turut menyediakan dua slot nano-SIM dan ketersambungan Cat. 4 LTE (150Mbps muat turun, 50Mbps muat naik). Juga disediakan Wi-Fi b/g/n dan Bluetooth 4.2, GPS, dan bicu audio 3.5mm.
Kunjungi laman rasmi Nokia untuk maklumat lanjut.













