Nintendo baru-baru ini telah mengumumkan model Switch baharu dengan skrin OLED 7-inci 720p. Pengumuman ini mengecewakan sesetengah peminat kerana sebelum ini menjangkakan model Pro yang ditambahbaik akan diumumkan.
Model OLED ini bagaimanapun hanya menawarkan penambahbaikan pada kualiti paparannya sahaja. Itupun, menurut Nintendo hanya menyokong 1080p melalui mod TV sahaja.
Selain dari skrin, model ini turut menyertakan cagak boleh laras untuk dimainkan di atas meja, storan dalaman 64GB, dok baharu dengan port ethernet terbina dalam dan penambahbaikan kualiti audio. Tiada penambahan besar bagi CPU atau memorinya dari model yang terdahulu.
Baterinya pula mampu bertahan sehingga sembilan jam, sama seperti model standard. Dari segi fizikal pula, Switch OLED lebih panjang dan lebih berat sedikit berbanding standard iaitu 320gram.
Joy-Cons yang asal boleh digunakan pada OLED Switch baharu, serta judul permainan sedia ada juga boleh dimainkan. Nintendo dalam masa yang sama menawarkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam dan putih. Untuk dok baharu pula, ia boleh digunakan bersama-sama model Nintendo Switch standard dan model OLED baharu ini.
Switch OLED ini hadir selepas dua tahun Nintendo Switch Lite dilancarkan. Model Lite yang dijual pada harga yang lebih murah ini bagaimanapun, tidak boleh disambungkan ke televisyen.













