Netflix telah memulakan pengujian pelan bulanan baharu yang dikenali sebagai Mobile+ untuk pelanggan-pelanggannya di Malaysia. Terdahulu, Netflix pernah melaksanakan pengujian untuk pelan Mobile pada 2018 sebelum ianya dilancarkan.

Berbanding pelan asal Mobile yang kini berharga RM17 sebulan, pelan Mobile+ baharu ini berharga RM25 sebulan dengan menawarkan beberapa penambahbaikan. Antaranya akses ke kandungan beresolusi lebih tinggi dari 480p hingga 1080p, setara dengan pelan Standard Netflix.

Pelanggan pelan Mobile+ juga dibenarkan untuk mengakses perkhidmatan ini menerusi PC, selain boleh ditonton melalui telefon atau tablet. Bagaimanapun, pelanggan Mobile+ hanya boleh menonton Netflix pada satu peranti sahaja dalam satu-satu masa.

Di India, Netflix menyatakan pihaknya akan melaksanakan pelan ini jika menerima maklum balas baik dari pelanggan. Berbanding Malaysia, pelan Mobile+ India ditawarkan pada harga yang lebih rendah iaitu INR 299 (~RM 17) sebulan.

Tinggalkan komentar