Netflix pada hari ini secara rasminya telah mengumumkan harga baharu untuk Basic Plan di Malaysia. Berkuatkuasa serta merta, bayaran bulanan baharu ini ditetapkan pada RM28 sebulan berbanding sebelum ini RM35.
Perkhidmatan penstriman video berkenaan telah mengeluarkan kenyataan rasminya di seluruh saluran media sosial Netflix Malaysia.
Kadar bayaran ini 25% lebih rendah berbanding dari harga sebelumnya yang mula dikuatkuasakan bermula dari Januari 2020.
Ini merupakan harga yang paling rendah ditawarkan untuk Basic Plan sejak Netflix pertama kali diperkenalkan di Malaysia pada 2016. Pada ketika itu, Basic Plan ditawarkan pada harga RM33 sebulan.
Kali ni, dropping down is good news ✅ Starting today, our Basic Plan in Malaysia is now RM28 per month for both new and existing members. pic.twitter.com/lcqMpHDJW1
— Netflix Malaysia (@NetflixMY) February 21, 2023
November tahun lalu, Netflix telah menaikkan output resolusi Basic Plan kepada HD 720p, berbanding sebelumnya yang ditetapkan pada resolusi SD 480p.
Tiada perubahan lain diperkenalkan bagi pelan ini dan penawaran lain masih lagi kekal seperti sebelum ini.
Perubahan harga baharu ini juga bakal dinikmati oleh pelanggan sedia ada dan baharu. Para pelanggan juga akan dimaklumkan menerusi emel masing-masing dan akan dimasukkan ke dalam kitaran bil yang akan datang.
Untuk tiga lagi pelan langganan Netflix yang lain, penawaran dan harganya juga masih lagi kekal sama tanpa sebarang perubahan.