Microsoft hari ini telah mengumumkan model-model terbaru Surface termasuk Surface Book 3. Model generasi ketiga ini masih lagi mengekalkan rekaan yang sama tetapi dengan spesifikasi perkakasan yang diperbaharui.

Surface Book 3 merupakan kesinambungan dari Surface Book 2 yang dilancarkan pada 2019. Dikatakan, peranti terbaru keluaran Microsoft ini mampu menyediakan prestasi 50% lebih baik berbanding keluaran sebelumnya.

Boleh didapati dengan dua saiz iaitu 13.5-inci dan 15-inci, perkakasan Surface Book 3 mengandungi pemprosesan Intel Core Generasi Ke-10. Untuk model 13.5-inci, ia menggunakan pemprosesan Intel Core i5-1035G7. Manakala untuk model 15-inci pula, ia menggunakan pemprosesan yang lebih berkuasa, Intel Core i7-1065G7.

Selain dari itu, model 1.35-inci turut menyediakan grafik NVIDIA GeForce GTX 1650 Max-Q bersama-sama VRAM GDDR5 4GB. Bagi model 15-inci pula, ia dilengkapkan dengan grafik NVIDIA Quadro RTX 3000 dengan VRAM GDDR6 6GB.

Melalui penawaran pilihan storan sehingga 1TB (2TB khusus untuk pasaran Amerika Syarikat), Microsoft menyatakan Surface Book 3 13.5-inci mempunyai tempoh penggunaan bateri sehingga 15.5 jam. Untuk model 15-inci pula, ianya mampu bertahan sehingga 17.5 jam. Ukuran tempoh penggunaan bateri ini adalah berdasarkan penggunaan bersama aksesori papan kekunci yang dipautkan padanya.

Buat masa ini masih belum diketahui sama Surface Book 3 ini akan hadir ke pasaran Malaysia. Surface Book 3 akan dilancarkan di Amerika Syarikat pada 21 Mei ini dengan harga disarankan bermula dari $1,599.99 (~RM 6,919).

Tinggalkan komentar