Diperkenalkan julung kalinya di dalam acara CES awal tahun ini, Lenovo akan melancarkan dua laptop khusus permainan baharu siri Legion 5 2021 di Malaysia tidak berapa lama lagi. Kedua-dua model ini akan menggunakan dilengkapkan dengan CPU AMD Ryzen Siri 5000 dan GPU NVIDIA GeForce siri RTX 30.

Laptop Legion 5 Pro 2021 dilengkapkan dengan paparan QHD IPS 16-inci 165Hz. Ianya mempunyai liputan warna gamut sRGB 100%, serta menyokong Dolby Vision dan panel yang mempunyai persijilan DisplayHDR 400. Lenovo turut menyatakan tahap kecerahan paparan laptop ini boleh ditingkatkan sehingga 500 nits.

Menampilkan papan kekunci bercahaya belakang RGB 4 zon, laptop seberat 2.45 kg ini turut disokong dengan bateri 80Wj dan adapter 300W.

Untuk pasaran Malaysia, Legion 5 Pro dikuasakan oleh pemprosesan AMD Ryzen 7 5800H dan GPU NVIDIA GeForce RTX 3070 yang mempunyai rating TGP 140W, bersama-sama RAM 16GB dan SSD NVMe PCIE 1TB.

Seterusnya bagi laptop Legion 5 2021 pula, ianya dilengkapkan dengan CPU AMD Ryzen 7 5800H, RAM 16GB, dan SSD 1TB. Bagaimanapun, pemprosesan grafik yang digunakan adalah sedikit rendah prestasinya iaitu GeForce RTX 3060 dengan rating TGP 130W.

Laptop khusus permainan model ini juga menyediakan paparan IPS sedikit kecil iaitu 15.6-inci. Ianya mempunyai resolusi HD Penuh dengan tahap kecerahan maksimum 300 nits, namun masih menawarkan kadar penyegaran semula 165Hz.

Sama seperti yang ditawarkan pada model Pro, laptop ini juga mempunyai sokongan Dolby Vision dan liputan warna gamut sRGB 100%. Ciri lain yang mempunyai persamaan termasuklah papan kekunci dengan pencahayaan belakang RGB 4 zon, bateri 80Wj dan adapter 300W.Lenovo Legion 5 Malaysia

Selain dari saiz paparan dan perkakasan, laptop Legion 5 Pro dan Legion 5 dibezakan pada kemasan bahan binaannya. Kerangka untuk Legion 5 Pro diperbuat dari aluminium, manakala bagi Legion 5 pula ianya menggunakan paduan polikarbonat-ABS.

Harga bagi Legion 5 Pro 2021 ditawarkan pada RM6,799 dan untuk Legion 5 pula dijual dengan harga RM6,099. Pembeli terawal secara pra-tempahan akan ditawarkan dengan kerusi khusus permainan TTRacing Surge, baucar Steam Wallet RM200 dan barangan Legion.

Kedua-dua model laptop siri Legion 5 2021 ini boleh didapati menerusi kedai rasmi Lenovo di Lazada dan Shopee. Juga ditawarkan di kedai eksklusif Lenovo dalam talian iaitu NBP dan NVIDIA GeForce di Lazada dan TMT di Shopee.

Tinggalkan komentar