ASUS secara rasminya telah melancarkan Zenbook A14 di pasaran Malaysia, laptop terkini keluarannya yang menggunakan kuasa pemprosesan Qualcomm siri Snapdragon X. Ia juga merupakan model yang paling ringan dilancarkan setakat ini.
Kesemua varian Zenbook A14 mempunyai berat kurang daripada 1kg dengan ada yang serendah 889 gram, hinggalah 980 gram. Varian paling asas menggunakan pemprosesan Snapdragon X, manakala yang paling tinggi menggunakan Snapdragon X Elite.
Selain daripada pemprosesan yang berbeza, beberapa ciri untuk varian-varian berkenaan adalah sama. Ia mempunyai RAM 32GB LPDDR5x-8448, storan PCIe 4.0 1TB, dua port USB 4, satu port USB-A 3.2 Gen 2, satu HDMI 2.1, satu port TMDS (transition-minimized differential signaling), dan bicu audio 3.5 mm.
Untuk paparannya, Zenbook A14 menawarkan LCD IPS 14-inci FHD+ untuk model Snapdragon X, dan OLED dengan kecerahan puncak 600 nits pula untuk model Snapdragon X Elite.

Perbezaan antara kedua-duanya ini juga merangkumi pada penawaran Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.3, bateri 48Wj dan adapter kuasa 65W untuk model yang menggunakan pemprosesan Snapdragon X. Manakala untuk yang menggunakan pemprosesan Snapdragon X Elite, ia dilengkapkan dengan Wi-Fi 7, Bluetooth 5.4, dan bateri yang lebih besar 70Wj dan adapter 90W.
Harga ASUS Zenbook A14 di Malaysia
ASUS Zenbook A14 dijual pada harga bermula dari RM4,999 untuk model Snapdragon X, dengan model X Elite pula harganya RM5,999. Laptop-laptop ini boleh didapati dengan dua pilihan warna iaitu Zabriskie Beige dan Iceland Gray.
Buat anda yang membuat pembelian laptop ASUS baharu ini di kedai-kedai terpilih bermula dari 7 Mac sehingga 31 Mac berpeluang untuk menerima ASUS ZenScreen MB166B bernilai RM700 selagi stok masih ada.













