Bagi menjana ekonomi Malaysia yang terkesan akibat dari wabak pandemik COVID-19, pihak kerajaan telah menyenaraikan sejumlah bantuan ekonomi menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Antara yang diberikan adalah kredit e-dompet percuma yang bertujuan menggalakkan pembayaran nirsentuh sebagai normal baharu.
Menerusi pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, inisiatif ePENJANA menyediakan kredit e-dompet RM50 kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas dengan pendapatan tahunan kurang dari RM100,000.
Selain dari pemberian kredit, pengguna yang layak juga menerima baucar diskaun dan pulangan tunai bernilai RM50. Buat masa ini, penyedia e-dompet yang terlibat di dalam program ini masih lagi belum diumumkan.
Terdahulu, pihak kerajaan pernah menyediakan program yang hampir sama menerusi e-Tunai Rakyat. Program yang diperuntukan di bawah Belanjawan 2020 pada awal tahun ini menyediakan kredit e-dompet RM30 bagi menggalakkan penggunaan e-dompet di kalangan rakyat Malaysia.













