Kilang perusahaan Sony di Perai, Pulau Pinang dilaporkan akan ditutup pada September 2021. Penutupan kilang tersebut merupakan salah satu daripada usaha penstrukturan semula syarikat Sony.
Menurut laporan dari Free Malaysia Today, kilang berkenaan telah beroperasi selama 36 tahun. Tindakan penutupan ini bakal menyebabkan hampir 3,400 pekerja diberhentikan dengan 1,800 orang daripadanya terdiri daripada pekerja tempatan.
Sebahagian tenaga kerja di kilang berkenaan akan dipindahkan ke kilang Sony di Bangi dalam tempoh penutupannya secara berperingkat. Selebihnya pula akan ditawarkan pakej skim pemberhentian secara sukarela (VSS).
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa dan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain berkata, mereka boleh dibantu menerusi lebih 9,000 peluang pekerjaan baharu yang tersedia di negeri ini.
Penutupan ini juga bakal mengakhiri sejarah panjang kilang yang sinonim dengan pengeluaran Sony Walkman berkualiti tinggi kebanggaan rakyat Malaysia.













