Keuntungan bersih Telekom Malaysia Bhd (TM) bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2018 turun sebanyak 83.52 peratus kepada RM153.154 juta berbanding RM929.749 juta pada tahun kewangan 2017.

Nilai hasil turut mencatatkan penurunan pada RM11.82 bilion dalam tahun kewangan 2018 berbanding RM12.08 bilion pada tahun sebelumnya.

TM memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa penurunan itu disebabkan oleh prestasi merosot aset rangkaian yang diiktiraf oleh kumpulan tersebut dalam suku ketiga tahun 2018, yang membawa kepada penurunan 65.9 peratus dalam keuntungan operasi sebelum kewangan kepada RM375.5 juta daripada RM1.10 bilion sebelumnya.

Bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Dis, 2018, keuntungan bersih turun kepada RM69.66 juta daripada RM277.01 juta dalam suku keempat 2017.

TM dalam satu kenyataan berasingan berkata prestasi kumpulan menerima kesan daripada keadaan tidak menentu berterusan dalam industri dan landskap operasi semasa tahun kewangan itu.

Jumlah perbelanjaan modal bagi tahun kewangan 2018 adalah sebanyak RM2.14 bilion atau 18.1 peratus daripada hasil, lebih rendah berbanding panduan perbelanjaan tahun penuh TM antara 19 dan 20 peratus daripada hasil.

Sementara itu, TM juga mengisytiharkan dividen tunai interim dua sen sesaham – pembayaran berjumlah RM75.1 juta, yang dijangka diagihkan pada 12 April, 2019.

“Kami meneruskan fasa transformasi kami yang seterusnya bagi memastikan kemampanan jangka panjang dan daya tahan kami ke arah membentuk TM baharu yang memberi penekanan menumpukan kepada pelanggan.

“Pada masa yang sama, kami akan terus menggunakan aset kami untuk mengoptimumkan prestasi dan mencapai fokus yang lebih baik menerusi pemusatan,” Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Operasi Imri Mokhtar dipetik sebagai berkata dalam kenyataan itu.

Beliau berkata syarikat telekomunikasi utama itu juga akan memanfaatkan kesalinghubungan untuk mempertahankan dan mengembangkan perniagaan terasnya dan ekosistem perkongsian bagi meneroka perniagaan baharu.

Sumber berita diperoleh dari Bernama via MalaysiaKini

Tinggalkan komentar