Kemaskini terbaru Windows 10 didapati telah menjadi punca pelbagai masalah yang melanda sesetengah PC pengguna sejak beberapa hari yang lepas. Kemaskini KB5001330 untuk binaan 2004 dan 20H1, serta kemaskini KB5001337 untuk binaan 1909 dan 1903.

Antara masalah yang dihadapi oleh pengguna disebabkan oleh kemaskini tersebut adalah ralat pengurangan kadar bingkai (frame rate) dan skrin biru maut (Blue Screen od Death, BSOD).

Bukan itu sahaja, sesetengah pengguna terutamanya pemain permainan komputer turut terkesan. Masalah utama yang dihadapi adalah kadar bingkai per saat (FPS) tidak stabil apabila v-sync dihidupkan dan apabila skrin dikongsikan melalui Discord. Untuk masalah lain pula, ia bergantung kepada jenis permainan komputer yang dimainkan.

Masalah lain yang tidak melibatkan permainan komputer pula adalah berkaitan DNS dan ‘restart’ berulang-kali. Terdapat juga pengguna yang kemaskininya langsung tidak dapat dipasangkan dan tersangkut pada peratusan tertentu ketika pemasangan.

Masalah yang paling kritikal berkaitan kemaskini ini adalah kemungkinan kehilangan data pengguna, menurut laporan Windows Latest. Ia menyebabkan profail akaun log masuk pengguna terpadam bersama-sama fail-fail yang terkandung di dalamnya (folder Documents misalnya). Bagaimanapun, masalah ini amat jarang berlaku.

Bagi anda yang mengalami masalah seperti yang dilaporkan, mungkin anda perlu menyahpasang kemaskini bermasalah tersebut.

Untuk menyahpasang, di dalam Settings, pergi ke Update & Security,’ klik bahagian ‘View Update History’ dan di dalamnya terdapat pilihan untuk menyahpasangnya (uninstall). Seterusnya, nyahpasang KB5001330 untuk binaan (build) 2004 dan 20H1 serta nyahpasang KB5001337 jika versi anda lebih lama dari binaan 2004.

DIharapkan pihak Microsoft akan mengambil langkah proaktif dengan menarik keluar kemaskini bermasalah ini dari pelayannya. Atau menerbitkan kemaskini pembaikan terkini khusus untuk mengatasi masalah tersebut pada kadar segera.

Biasanya, Microsoft akan mengambil masa sekitar 2 minggu hingga sebulan untuk mebaiki masalah besar sebegini. Kami menasihatkan anda supaya menangguhkan dahulu kemaskini terbaru ini buat sementara waktu.

Tinggalkan komentar