Utama Komputer Kelebihan menggunakan SSD berbanding HDD pada PC

Kelebihan menggunakan SSD berbanding HDD pada PC

2545
0

Pemacu keadaan pejal, solid state drive atau singkatannya SSD merupakan sejenis storan flash yang tidak memiliki komponen bergerak di dalamnya.

Atas sebab itu, ianya lebih kecil dan tidak memerlukan ruangan yang besar untuk ditempatkan di dalam sesebuah kerangka PC. Sesetengahnya pula boleh dipautkan terus ke papan induk.

Berbanding dengan pemacu cakera keras (hard disk drive, HDD) yang diperbuat dari pita magnetik bersama-sama komponen mekanikal di dalamnya, SSD lebih pantas kelajuan baca dan tulisnya.

Kenapa perlu guna SSD?

Bagi anda yang memasang PC sendiri, antara matlamat utama anda pastinya tentang kelajuannya. Storan jenis HDD mungkin tidak akan mampu membawakan anda nikmat kelajuan yang anda inginkan.

Penggunaan HDD akan menyebabkan waktu boot sistem operasi anda seperti Windows akan menjadi perlahan, selain aplikasi lembab untuk dibuka dan juga lambat untuk membuka dan menyimpan sesebuah fail.

Secara perbandingan kasar, SSD paling murah pun jauh lebih baik prestasinya berbanding HDD dari segi kelajuannya. Atas sebab itu, sesetengah pengguna akan menjadikan SSD sebagai pemacu boot dengan memasangkan dan menjalankan sistem operasi melaluinya.

Sungguhpun dari segi jangka hayat penggunaan SSD adalah lebih pendek berbanding tempoh penggunaan sesebuah HDD, faktor harga SSD yang kini jauh lebih murah berbanding keluarannya 5 tahun mungkin tidak begitu memberi kesan negatif terhadap pemakaian SSD secara keseluruhannya.

Sedikit tentang SSD PCIe 4.0

SSD yang dipautkan pada papan induk secara amnya merupakan jenis yang lebih pantas berbanding jenis sambungan SATA.

Bagi pengguna AMD model terkini seperti jenis yang menggunakan pemproses Ryzen 3000 dan cipset AMD X570, anda mungkin boleh memanfaatkan penggunaan SSD generasi paling terkini ini. Sesetengah model SSD berkeupayaan kadar baca sehingga 5,000 MB/s dan kadar tulis pula sehingga 2,500 MB/s.

Muafakat antara SSD dan HDD

Bagi anda yang memiliki PC desktop, anda mungkin mempunyai kelebihan untuk menggabungkan kedua-dua jenis storan ini. Pada pandangan saya, ini dapat memberikan keseimbangan dari segi harga, prestasi, kelajuan, dan juga faktor ruang untuk menempatkan storan-storan tambahan pada PC terbabit.

Anda juga boleh menjimatkan ruang di dalam PC desktop anda dengan memasang SSD jenis NVMe. Jenis ini boleh dipautkan terus pada pada papan induk PC anda dan kelajuannya juga jauh lebih baik berbanding SSD jenis sambungan SATA.

Penggunaan HDD pula ia mempunyai kelebihan dari segi kadar harga kepada saiz bitnya. Storan HDD berkapasiti besar secara amnya masih lagi murah jika dibandingkan dengan SDD berkapasiti besar.

Oleh yang demikian, anda mungkin boleh menyeimbangkannya dengan mendapatkan SSD berkapasiti kecil dan menggabungkannya dengan HDD yang berkapasiti besar. Melaluinya, anda bakal mendapat sebuah PC yang seimbang kehidupannya di dunia dan di akhirat.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.